KUANTAN: Kerjasama antara Pas dengan UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) perlu dibuat secara menyeluruh di seluruh negara.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerjasama itu perlu dibuat dalam kerangka menyeluruh dan bukan di negeri tertentu sahaja.
Beliau bagaimanapun berkata, Pas sentiasa terbuka kepada penyatuan ummah dan melihat kepada keperluan bahawa tiga parti iaitu Pas, UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu bersama-sama pada PRU15.
“Kalau BN masih kekal dengan keputusan bergerak solo, kita akan pergi dengan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) dan buat masa ini tiada jangka masa kita tetapkan untuk penyatuan ummah. Kalau pilihan raya itu (PRU15) bertambah hampir, kita tak boleh tunggu lama sangatlah.
“Cuma kerangkanya mesti menyeluruh, tak bolehlah di Pahang kita bersepakat, di Kelantan hendak lawan, di Terengganu hendak lawan.
“Kalau kita hendak berpakat, kena seluruh negara. Kita kena lihat dalam kerangka besar bagi menghadapi pilihan raya ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas program Himpunan Hijau 3.0 (H20K) anjuran Pas Pahang di Pantai Sepat, di sini semalam.
Tuan Ibrahim berkata, haluan Pas bersama PN sebagai parti yang telah pun berdaftar di bawah gabungan tersebut.
“Itu teras yang kita pertahan, cuma kita tidak tutup ruang kepada penyatuan ummah dan ia terserah kepada UMNO. Kalau BN buat keputusan bergerak solo kita (Pas) telah bersedia menghadapi PRU15 bersama PN,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, Muafakat Nasional (MN) harus dikekalkan walaupun gagasan itu tidak bekerjasama dalam konteks politik dan pilihan raya.
“Kita banyak isu bersama dalam penyatuan ummah yang kita boleh kerjasama, cuma dalam konteks pilihan raya, Pas bersama PN,” katanya.
Berhubung soal calon Pas di Pahang pada PRU15, beliau berkata, ia akan diputuskan menerusi perbincangan dalam PN. – UTUSAN










