GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) berdepan situasi bahaya jika berkeras untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah berkata, situasi politik ketika ini dilihat tidak sesuai buat BN jika mereka terus kekal dengan tindakan itu.
“BN atau UMNO boleh bergerak solo tetapi perlu faham apa makna solo. Kalau dulu solo, UMNO ada 13 parti bersamanya dari Sabah dan Sarawak serta teman-teman yang kuat membantu UMNO iaitu MCA dan MIC.
“Mereka begitu berpengaruh ketika dulu. Tetapi sekarang kita hanya mempunyai MCA dengan MIC yang tidak dapat ditentukan kekuatan parti-parti ini,” katanya.
Ahli Parlimen Gua Musang itu memberitahu, adakalanya calon MCA atau MIC juga berharap kepada sokongan UMNO.
“Jadi bagaimana kita nak menghadapi keadaan dengan macam-macam masalah, berita yang timbul daripada semasa ke semasa untuk menghadapi lawan politik dalam pilihan raya. Saya rasa keadaan sudah berubah tidak seperti dulu lagi,” ujarnya.
Media sebelum ini melaporkan, BN kekal dengan keputusan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti. – UTUSAN










