Prosiding kes hina mahkamah Lokman Adam tangguh 17 Ogos - Utusan Malaysia

Prosiding kes hina mahkamah Lokman Adam tangguh 17 Ogos

LOKMAN Noor Adam tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendengar perbicaraan beliau yang didakwa menghina seorang anggota polis mahkamah dan mempersoalkan sistem perundangan mahkamah. - UTUSAN/MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan prosiding hina mahkamah yang dihadapi bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam ke 17 Ogos ini.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menangguhkan prosiding berkenaan selepas dimaklumkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya yang sepatutnya mengendalikan kes itu dijangkiti Covid-19.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Isa Mohamed memaklumkan bahawa Timbalan Pendakwa Raya terdahulu, Izalina Abdullah yang mengendalikan kes itu dijangkiti Covid-19 bermula semalam.

Justeru, Mohd. Isa berkata, Izalina perlu menjalani tempoh kuarantin selama seminggu sebelum kes itu boleh diteruskan.

Pendakwa raya itu kemudian memohon supaya prosiding itu ditangguhkan ke satu tarikh lain.

Pada 30 Jun lalu, Lokman dikenakan notis tunjuk sebab oleh Mahkamah Tinggi di sini setelah didakwa mengeluarkan perkataan ‘bodoh’ ketika ditegur polis kerana ‘bermain’ telefon.

Perkara tersebut berlaku sewaktu Hakim Sequerah sedang mendengar perbicaraan kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa atas 47 pertuduhan membabitkan penyelewengan dana puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Notis terhadap Lokman dikenakan selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran memaklumkan insiden tersebut dan memohon mahkamah mengenakan tindakan menghina mahkamah terhadap ahli politik berusia 49 tahun itu.

Pada 1 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi di sini mengetepikan sepina yang dikeluarkan kepada Raja Rozela untuk memberi keterangan dalam prosiding hina mahkamah yang dihadapi Lokman.

Pada 15 Julai 2021, Lokman dipenjara sebulan oleh Hakim Sequerah kerana menghina mahkamah selepas didapati bersalah mengugut saksi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya