Premis tak kibar Jalur Gemilang bakal dikompaun RM250 - Utusan Malaysia

Premis tak kibar Jalur Gemilang bakal dikompaun RM250

RUMAIZI Baharin berucap pada program Kibar Jalur Gemilang di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pemilik premis perniagaan di Ipoh yang gagal mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kemerdekaan bakal berdepan tindakan kompaun sehingga RM250.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, notis pemasangan bendera itu akan diedarkan bermula hari ini kepada pemilik premis perniagaan di bandar raya ini.

Katanya, tindakan kompaun itu selaras Akta Kerajaan Tempatan 1976 Seksyen 107(2) yang menjadi syarat pelesenan untuk premis mengibarkan bendera negara ketika sambutan diraikan.

“Perkara ini memang sudah termaktub di bawah syarat-syarat lesen yang menghendaki pemasangan bendera negara sebagai sebahagian syarat pelesenan, jika tidak dipatuhi, denda boleh dikenakan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBI di Persiaran Bandaraya di sini hari ini.

Menurut beliau, menerusi pemantauan berkala, pemilik akan diberi peringatan dan nasihat terlebih dahulu dan sekiranya masih gagal dipatuhi, barulah kompaun dikeluarkan.

“Biasanya kita tidak kompaun, selalu beri nasihat dan peringatan untuk pastikan pemasangan (bendera) ini dibuat,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, bagi menyemarakkan sambutan kemerdekaan kali ini, MBI telah memasang lebih 5,000 Jalur Gemilang di jalan-jalan utama dan sekitar bandar Ipoh.

Jelasnya, usaha itu diharap dapat menyemarakkan semangat patriotisme kalangan warga kota dalam menghargai sebuah kemerdekaan.

“Kibaran Jalur Gemilang ini bukan bermakna sekadar kibar secara fizikal, apa yang lebih penting adalah penghayatan nilai dan semangat yang dizahirkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN