SHAH ALAM: Kegiatan dua lelaki dalam pengedaran dadah sejak dua bulan lalu tumpas apabila ditahan polis bersama dadah jenis syabu bernilai RM10.89 dekat sebuah premis di Kampung Baru Ampang, pada 20 Ogos lalu.
Dalam serbuan di premis tersebut kira-kira pukul 5.20 petang, lelaki berusia 23 dan 51 tahun itu ditahan ketika mereka sedang melakukan proses transaksi terhadap 349 bungkusan syabu seberat 363.03 kilogram (kg) dipercayai untuk edaran Lembah Klang.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, kesemua dadah itu dalam 349 bungkusan kekuningan bertulisan Guanyinwang dan berat keseluruhan adalah 363.03kg.
“Dadah itu diletakkan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang diparkir di hadapan sebuah premis di lokasi tersebut dengan menahan seorang lelaki terlebih dahulu.
“Lanjutan itu, kita kemudianya menangkap seorang lagi suspek di lokasi berhampiran,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Menurut beliau, siasatan mendapati suspek pertama berusia 23 tahun berperanan sebagai transporter manakala seorang lagi menjadi ‘peninjau’ kawasan sekitar.
Tambah Arjunaidi, siasatan mendapati dadah itu diperoleh dari negara jiran dengan kedua-dua suspek telah aktif sejak dua bulan lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata, semakan mendapati hanya suspek berusia 51 tahun mempunyai rekod lampau, namun hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif.
Dalam pada itu, Arjunaidi memaklumkan, polis turut merampas kenderaan pacuan empat roda berkenaan bersama dua kenderaan lain, Hyundai Sonata serta Proton Exora bernilai kira-kira RM100,000 dan merampasi wang tunai sebanyak RM1,373.
“Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sejak 21 Ogos lalu sebelum dilanjutkan selama enam hari lagi sehingga Jumaat ini.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika disabitkan kesalahan, akan dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 15 sebatan,” jelasnya. – UTUSAN









