PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berhubung dakwaan melibatkan integriti kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. dihadapi Datuk Seri Najib Tun Razak.
Itu susulan laporan polis dibuat bekas Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman di Balai Polis Presint 7, Putrajaya semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan laporan tersebut dibuat di sebuah balai di Putrajaya di sini dan telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk tindakan lanjut.
“Saya sahkan terima laporan tersebut. Bagaimanapun kita sedang teliti dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, Hamidah turut berkongsi salinan laporan polis tersebut dalam satu hantaran di Facebook dan memaklumkan laporan itu dibuat berikutan satu hantaran tular berbaur politik dan prejudis terhadap bekas Perdana Menteri oleh pemilik akaun bernama Zamani Ibrahim dipercayai merupakan suami kepada Ketua Hakim Negara.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu berkata, hantaran dibuat individu terbabit berbaur politik dan dikatakan gembira dengan kejatuhan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini tular di media sosial.
“Isi kandungan hantaran ini saya percaya dan yakin berupaya mencalarkan imej sistem keadilan negara. Saya percaya Zamani Ibrahim selaku suami Tengku Maimun berupaya mencalarkan integriti dan imej sistem keadilan negara.
“Bagaimana boleh kita yakin penghakiman yang dibuat Tengku Maimun benar-benar telus dan adil tanpa dipengaruhi oleh suaminya,” katanya.
Susulan itu, laporan polis yang dibuatnya adalah demi integriti kehakiman negara. – UTUSAN










