PN tawar 15 resolusi untuk dinilai rakyat menjelang PRU15

PN tawar 15 resolusi untuk dinilai rakyat menjelang PRU15

TIMBALAN Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kanan) bersama Hamzah Zainuddin pada Konvensyen Perikatan Nasional (PN) 2022 di MAEPS Serdang, hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Perikatan Nasional (PN) menawarkan 15 resolusi untuk dinilai rakyat menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang yang bakal diadakan pada bila-bila masa.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam nada tegas menyifatkan, kesemua resolusi itu sebagai isyarat blok berkenaan telah pun bersiap siaga mendepani PRU15.

Kepada akar umbi dan kepimpinan parti di seluruh negara, beliau meminta mereka  merapatkan saf dan membulatkan tekad bersedia untuk berjuang bagi memenangi hati rakyat.

“Justeru kepada rakyat sekalian, semua pihak boleh menilai resolusi ini sebagai tawaran terbaik lagi jujur dan ikhlas demi kepentingan negara,” katanya pada Konvensyen PN 2022 di sini, hari ini

Antara yang digariskan Jawatankuasa Resolusi Konvensyen dipengerusikan oleh Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin itu ialah memastikan semua calon PN bersih, berintegriti dan bebas rasuah. Mereka bahkan perlu melepasi tapisan tiga pihak berwajib serta mengisytihar harta dan tiada kes di mahkamah seterusnya membuat aku janji menolak jenayah korupsi atau salah guna kuasa.

Resolusi itu juga menyeru jentera PN bersiap siaga di setiap kawasan untuk meraih kemenangan dalam PRU-15 serta mematuhi segala keputusan ditetapkan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi. Tidak ketinggalan ialah menjadikan prinsip pihatin rakyat sebagai landasan utama perjuangan dan pada masa sama memperkukuh kesatuan antara parti komponen agar PN jadi pilihan.

“Kita juga akan menampilkan calon boleh menang dalam kalangan wanita dan anak muda dengan kuota sekitar 30 peratus untuk PRU-15,” kata Hamzah ketika membaca resolusi tersebut.

Bagaimanapun sebahagian besar resolusi berkenaan kelihatan seperti manifesto kempen pilihan raya termasuk pelbagai janji populis yang berupa program pembangunan kepada rakyat. Ini termasuk janji untuk PN bagi meningkatkan tahap prasarana dan infrastruktur digital di seluruh negara selain memperkasa masyarakat yang bermaklumat dan berpengetahuan luas.

Turut disentuh ialah usaha memajukan sektor pendidikan dengan digitalisasi bagi mengurangkan jurang akademik, menambah baik ekosistem dan memajukan kemenjadian murid sekolah. PN juga ujar beliau, berjanji memulihara khazanah negara dan melindungi alam sekitar daripada ancaman kerakusan pihak tertentu serta mengelak ketirisan hasil selain kejadian bencana.

“Kami turut akan tingkat kecekapan tadbir urus kewangan dan penyampaian perkhidmatan institusi kerajaan tanpa ada campur tangan politik dan unsur salah guna kuasa,” kata Hamzah.

Pada masa sama, resolusi itu menyentuh janji pembangunan ekonomi berimpak tinggi untuk meningkatkan pendapatan rakyat serta menjadikan Malaysia negara makmur dan sejahtera. Begitu juga ujarnya, usaha memperkukuhkan hubungan antara kerajaan persekutuan dan negeri selain masyarakat majmuk dengan berlaku adil dan prihatin tanpa mengira latar belakang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN