SERDANG: Perikatan Nasional (PN) sedia menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bila-bila masa.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya telah menerima laporan bahawa kepercayaan rakyat terhadap BN makin merosot.
“Saya baca kenyataan Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi). Dia kata pilihan raya mesti diadakan pada tahun ini bukan tahun depan.
“Kalau tunggu tahun depan, Barisan Nasional mungkin akan kalah. Saya seronok baca kenyataan ini. Maknanya, mereka tu taklah kuat sangat,” katanya dalam ucap tama Konvensyen PN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) hari ini.
Justeru kata Muhyiddin, tujuan desakan supaya pilihan raya diadakan lebih awal adalah semata-mata untuk mendapatkan kembali kuasa bagi menyelamatkan pihak-pihak tertentu daripada hukuman mahkamah.
“Saya tidak fikir rakyat Malaysia akan membiarkan perkara ini berlaku. Jadi sama ada pilihan raya tahun ini atau tahun depan, bagi kita sama saja.
“Prinsip kita ialah lawan yang mungkar, pilih integriti dan terus prihatin kepada rakyat kerana itulah tujuan kita berada di dalam wadah Perikatan Nasional,” katanya.
Oleh itu, Muhyiddin menegaskan, PN bersedia menghadapi PRU15 pada bila-bila masa meskipun Parlimen dibubarkan esok.
Kata beliau, sebaliknya mengikut perjanjian antara beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlulah berunding dengan pihaknya terlebih dahulu.
“Tak tahu lah saya sama ada Perdana Menteri masih ingat adanya perjanjian itu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya mendengar ura-ura PRU15 berkemungkinan ia diadakan dalam masa terdekat walaupun perlu diadakan selewat-lewatnya pada tahun hadapan.
“Semasa kita berhimpun di sini, pihak di sebelah sana juga berhimpun. Dengar katanya nak desak Perdana Menteri supaya bubar Parlimen lebih awal.
“Walau apa pun, kita bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Kalau ikut adat kebiasaannya pun, kita telah masuk ke tahun terakhir bagi penggal pilihan raya ini.
“Jadi kalau esok Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mohon perkenan bagi membubarkan Parlimen, kita anak jantan sedia masuk gelanggang,” katanya.
Sementara itu, Muhyiddin menegaskan, tidak ada parti abang besar atau parti adik kecil dalam PN kerana semuanya adalah sama dan menerima layanan sama rata.
Beliau menambah, sebarang keputusan yang hendak dibuat juga mesti melalui proses musyawarah di dalam Majlis Tertinggi PN yang mana setiap parti mempunyai wakil di dalamnya.
“Semua bebas untuk bersuara dan memberikan pandangan. Tidak ada mana-mana parti yang boleh memaksa pandangannya diterima oleh parti-parti lain,” ujar beliau. – UTUSAN