PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima kunjung hormat Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi di sebuah hotel di ibu negara hari ini.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran Facebook Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
“Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang baru sampai pagi tadi. Selamat Datang ke Kuala Lumpur,” kata Hishammuddin dalam Facebook beliau yang memuat naik gambar Perdana Menteri bersama Pelosi.
Terdahulu, Pelosi mengadakan lawatan sulung rasminya ke Malaysia yang merupakan sebahagian rangka lawatan rasmi ke beberapa negara Asia.
Kuala Lumpur menjadi lokasi persinggahan kedua Pelosi selepas melawat Singapura pada Isnin sebelum ke Korea Selatan dan Jepun.
Pelosi selaku pemimpin nombor tiga dalam senarai pengganti Presiden AS dan satu-satunya wanita yang pernah berkhidmat sebagai Speaker Dewan AS tiba di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.
Beliau kemudian mengadakan kunjung hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Haron di Bangunan Parlimen hari ini.
Kunjungan Pelosi kemudian diteruskan dengan sesi perbincangan bersama ahli-ahli Dewan Rakyat yang merangkumi isu perubahan dan krisis iklim, perdagangan, pemerdagangan manusia, reformasi institusi, dan hak asasi manusia. – UTUSAN









