PM sertai 10,000 rakyat sambut ambang Merdeka Putrajaya

PM sertai 10,000 rakyat sambut Ambang Merdeka Putrajaya

ISMAIL Sabri Yaakob bersama menyertai sambutan ambang Merdeka di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Lebih 10,000 orang memeriahkan acara sambutan Ambang Merdeka di Anjung Floria, Presint 4, di sini malam tadi.

Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan Jemaah Menteri.

Antara barisan Jemaah Menteri yang hadir ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, barisan menteri kanan dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah

Program bermula seawal pukul 9 malam itu turut diserikan dengan persembahan artis terkemuka negara termasuk Ella, Haqiem Rusli, Afiq Shazwan, Ameng Spring, Man Bai, Datuk Nash, Amir Masdi dan Ayu Damit. Persembahan diiringi Kombo PrecintNotes Perbadanan Putrajaya (PPj) selain persembahan tarian oleh Genius Seni Tari dan Kumpulan Tarian Rai’e.

Kemuncak sambutan diakhiri dengan laungan merdeka sebanyak tujuh kali tepat pukul 12 tengah malam diikuti dengan persembahan bunga api dan nyanyian lagu Negaraku. Sejurus selepas persembahan bunga api dan laungan merdeka, orang ramai yang hadir turut dipersembahkan dengan lagu keramat Standing In The Eyes Of The World oleh Ratu Rock, Ella serta persembahan artis terkemuka lain.

Sambutan Ambang Merdeka Putrajaya adalah anjuran PPj dengan sokongan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bersempena penganjuran Festival Bunga dan Taman Floria Diraja Putrajaya 2022. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN