PH juga ada 'saham' punca LCS lambat siap - Utusan Malaysia

PH juga ada ‘saham’ punca LCS lambat siap

PROJEK LCS dihentikan kerana syarikat bertanggungjawab, Boustead Naval Dockyard Sdn. Bhd. (BNS) sudah 'kehabisan duit' untuk melaksanakannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga didakwa mempunyai ‘saham’ dalam kepincangan projek pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ini kerana PH yang membekukan projek itu pada 2019 sehingga menyebabkan kapal pertama semakin lewat untuk disiapkan.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, bekas Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu juga ketika itu ada memaklumkan gagal menyiapkan reka bentuk LCS dan tidak dapat disiapkan sebelum mereka bekukan.

“Projek ini macam projek lain yang mereka bekukan dan hujungnya BN juga yang dipersalahkan. Dalam hal ini, kapal itu bukan tidak wujud tetapi dihentikan pembinaannya oleh PH ketika mereka memerintah,” katanya menerusi satu hantaran klip video di laman Facebooknya

Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan LCS milik TLDM bernilai yang bernilai RM9 bilion.

Melalui laporan PAC itu, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS bagi projek runding terus namun, tiada kapal yang diterima setakat ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berpandangan, PH ketika menjadi kerajaan tidak cakna dengan isu membabitkan projek pembinaan enam kapal LCS.

Katanya, sebagai kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat mereka perlu memperhalusi sebaiknya pengurusan pembinaan kapal berkenaan sekiranya wujudnya ketidakcekapan dalam pelaksanaannya.

“Saya hendak beritahu isu ini membabitkan pentadbiran yang melaksanakan projek dan mereka perlu dipertanggungjawabkan, kerajaan BN hendak bangunkan industri kapal kemudian bagi kontrak kepada syarikat milik kerajaan (GLC) Boustead.

“Jika BN tidak cekap untuk kendalikan projek ini kenapa PH waktu ambil alih dia tidak baiki malah dia buat benda yang sama rasmi sana sini, ini soal pentadbiran kalau ada salah laku perlu diambil tindakan sebagai parti yang diberi mandat.

“LCS ini kalau dia tahu lambat dah ada macam-macam ‘report’ kenapa tak buat tindakan? Saya tak pernah dengar masa kita kalah PH pecat mereka yang kendali LCS ini,” katanya ketika berucap pada Bengkel Pemantapan Jentera Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan yang berlangsung di Kompleks Dewan Tun Ghafar Baba di Seputeh semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN