Peruntukan RM800 juta atasi masalah banjir Sabah

Peruntukan RM800 juta atasi masalah banjir Sabah

TUAN Ibrahim Tuan Man (kanan) diiringi Ghulam Haidar (kiri) semasa melawat kawasan banjir di Kampung Pengalat Besar, Papar hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Alam Sekitar dan Air memperuntukkan kira-kira RM800 juta pada tahun ini bagi melaksanakan projek-projek mengatasi masalah banjir di Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek-projek itu dijangka akan bermula pada tahun depan dan ada antaranya mengambil masa dua atau tiga tahun untuk disiapkan.

Beliau berkata, peruntukan yang besar itu akan membantu penduduk yang selama ini terjejas akibat masalah banjir yang berlaku sama ada akibat hakisan pantai atau masalah lain.

“Pelaksanaan bergantung kepada projek, macam projek ini (Kampung Pengalat Besar) saya tidak fikir akan mengambil masa yang panjang jadi ia boleh segera dilaksana dan disiapkan.

“Projek lain termasuk meninggikan ban di Kampung Kuala Dalam bagi memudahkan nelayan mendarat. Malah, ada kawasan kita bina struktur tebing bagi kawasan yang mengalami hakisan.

“Setiap projek berbeza mengikut keadaan di satu-satu kawasan yang sering dilanda banjir,” katanya selepas melawat beberapa kawasan sering dilanda banjir di Papar hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan lawatan kerja di Papar, sejumlah peruntukan telah diluluskan bagi melaksanakan tiga projek mengatasi masalah banjir dengan peruntukan berjumlah RM74 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Ia termasuk pembinaan laluan banjir Sungai Membakut ke Sungai Binsuluk di Kampung Bingkulas/Mandaya Membakut; projek pemuliharaan Sungai Padas, Beaufort dan projek mengatasi banjir Kampung Kuala Dalam, Papar.

“Kerja-kerja yang akan terlibat termasuk pembinaan penstabilan struktur penstabilan tebing, pembinaan bypass sungai, penambakan tanah serta mendalamkan muara Sungai Papar,” katanya.

Mengenai kawasan banjir di Kampung Pengalat Besar, Papar itu, Tuan Ibrahim berkata, projek menaikkan aras jalan yang semakin mendap itu akan dilaksanakan dengan segera kerana terdapat sekolah agama dan tanah perkuburan yang berada di kawasan itu.

Mengulas lanjut katanya, kerja penstabilan tebing sungai di hulu Kampung Sulim atau Kampung Labak, Kinarut yang membabitkan peruntukan RM149,980 telah siap sepenuhnya pada April lalu.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawang, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Pegawai Daerah Papar, Hadzlan Jablee.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya