Permudahkan proses pendaftaran - Utusan Malaysia

Permudahkan proses pendaftaran

JKM diminta permudahkan urusan pendaftaran pusat jagaan.GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mela­lui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu mempermudahkan proses pendaftaran 1,028 pusat-pusat jagaan yang masih belum berbuat demikian selain mengurangkan kerenah birokrasi.

Hal ini kerana pusat jagaan berkenaan terdedah kepada aktiviti penyelewengan atau ketirisan dana daripada sumber-sumber yang tidak diketahui.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Selamat (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, pusat jagaan perlu berdaftar bagi mengesahkan dana yang diterima tidak disalahgunakan untuk aktiviti-aktiviti haram.

Kata beliau, gerak kerja pusat jagaan itu disalurkan oleh dana-dana daripada pelbagai pihak tertentu, jadi pendaftaran pusat jagaan perlu dilakukan bagi memastikan aliran keluar masuk dana adalah daripada sumber halal.

“Pusat-pusat jagaan ini kebanyakan untuk menjaga atau memberi perkhidmatan kepada masyarakat. Mereka ni mendapat dana sumbangan-sumbangan daripada individu atau pihak syarikat. Jadi, apa kita bimbang sekiranya sumbangan itu datang daripada aktiviti-aktiviti haram yang dijalankan oleh pihak-pihak ter­tentu.

“Bagi pihak yang menjalankan pusat kebajikan ini sewajarnya mereka mendaftar kerana ini melibatkan perundangan proses bagi peserta-peserta yang mendaftar di pusat mereka.

“Mengenai garis panduan yang perlu diikut oleh pusat jaga­an mendapatkan lesen secara sah sudah ada secara terperinci. Jadi ia adalah tugas kerajaan untuk memikirkan cara sesuai untuk mempermudahkan perolehan lesen tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar ini me­laporkan, sejumlah 1,028 pusat jagaan didapati tidak berdaftar dengan JKM di seluruh negara sekali gus boleh diarah tutup, dibatalkan pendaftaran, dikenakan kompaun atau boleh didakwa.

Perolehan itu direkodkan menerusi satu operasi pemutihan yang dijalankan terhadap pusat-pusat jagaan itu melibatkan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, wa­nita dan pelbagai iaitu membabitkan lebih dari satu kategori kumpulan sasar.

Halim berkata, JKM perlu menjadi pemudah cara dalam memastikan pusat-pusat jaga­an tersebut dapat memperoleh le­sen dan sekiranya mereka masih enggan berbuat sedemikian, kerajaan perlu meneliti puncanya.

“Sekiranya didapati ada ketirisan, pengurusan kena ambil tindakan tetapi kalau mereka itu menjalankan operasi mengikut prosedur operasi stan­dard (SOP) yang ada, JKM perlu membantu sebagai pemudah cara membuat pendaftaran.

“Mereka ini sebahagiannya memang betul-betul untuk berkhidmat kepada masyarakat, jadi mereka perlu dibantu kecuali sekiranya pusat tersebut mengaut keuntungan untuk kepentingan diri sendiri,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN