Permohonan PBM masih tergantung

Permohonan PBM sertai BN masih tergantung

ZAMBRY Abd. Kadir bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat untuk memutuskan nasib enam parti politik yang ingin menyertai komponen Barisan Nasional, di Menara Dato Onn, malam ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Permohonan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masih tergantung setelah Barisan Nasional (BN) malam ini memaklumkan sedang memperhalusinya dan beberapa parti politik lain untuk menjadi komponen di dalam gabungan itu.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keputusan sama ada meluluskan permohonan parti itu diumumkan kemudian.

Beliau juga tidak memperincikan parti-parti politik lain yang memohon menyertai BN.

“Saya diarah membaca kenyataan media sahaja. Tidak mengapa, yang itu (permohonan parti politik) akan diumumkan nanti.

“Pastinya lebih daripada satu parti (memohon menyertai BN).

“Tetapi, ini akan diuruskan oleh urusetia dahulu dan bila sampai masanya akan diumumkan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, di Menara Dato Onn, di sini malam ini.

Sementara itu,Presiden MIC, Tan Sri S. Vigneswaran  ketika ditemui di sini malam ini mengesahkan sebanyak enam parti politik yang telah membuat permohonan menyertai BN.

“Ada enam parti politik,” katanya ringkas.

Jangkaan mesyuarat BN malam ini untuk mengetahui status permohonan PBM yang dipimpin oleh bakal presiden juga Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin menjadi parti komponen BN tersasar, apabila belum ada keputusan dimuktamadkan.

Hal itu walaupun Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan sebelum ini dilaporkan berkata, keputusan permohonan PBM akan dibuat kepemimpinan secara konsensus pada mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam ini.

Zuraida pula yang mencipta rekod melompat parti beberapa kali dilaporkan akan menerima apa sahaja kemungkinan berhubung permohonannya untuk bersama BN.

UMNO dan BN Ampang sebelum ini menolak bekerjasama dengan Zuraida serta PBM kerana mereka adalah golongan yang meninggalkan PKR dan pernah menjadi lawan kepada BN.

Bantahan itu ditunjukkan menerusi kain rentang yang dipasang di sekitar kawasan Parlimen Ampang yang tertera tulisan “Barisan Nasional Ampang menolak Zuraida Kamaruddin dan PBM dan “Lawan Tetap Lawan”.

TIMBALAN Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan hadir mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam ini.

Dalam perkembangan lain, Zambry berkata, Dewan Tertinggi mengesahkan penyambungan pelantikan Bendahari Agung BN, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussien bagi tempoh dua tahun lagi selaras dengan Perlembagaan BN.

“Dewan Tertinggi BN juga bersetuju mewujudkan Puteri Barisan Nasional bagi menyelaras pergerakan wanita muda di semua parti komponen. Datuk Zahida Zarik Khan dilantik sebagai Ketua Puteri Barisan Nasional,” katanya.

Yang turut hadir dalam mesyuarat malam ini ialah, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Mohamad Hassan; Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.

Selain itu, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah, Datuk Arthur Joseph Kurup hadir dalam mesyuarat berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya