Perbelanjaan pembangunan 2022 catat lebih 50 peratus - PM

Perbelanjaan pembangunan 2022 catat lebih 50 peratus – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prestasi perbelanjaan peruntukan pembangunan sehingga 15 Ogos 2022 mencatat peningkatan sehingga 50.35 peratus berbanding 26.4 peratus pada 15 April lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan perkara itu ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) Bilangan 2 Tahun 2022.

“Jawatankuasa Tertinggi Pemantauan RMK12 dan Jawatankuasa Pemudahcara Pelaksanaan Projek Pembangunan Negara (JP4N) terus meneliti isu dan cabaran semasa bagi mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dalam tempoh RMK12, demi manfaat kepada Keluarga Malaysia.

“Mesyuarat turut bersetuju supaya Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri menyediakan Kajian Separuh Penggal RMK12 bagi meneliti dan menyemak semula dasar dan sasaran sedia ada agar matlamat pembangunan yang disasarkan dapat dicapai. Proses ini bermula September 2022 hingga September 2023,” katanya dalam kenyataan.

Dalam pada itu, kata Ismail Sabri, kerajaan membuat keputusan selaras dengan sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi yang inklusif dan mampan pada 2025.

“Mesyuarat bersetuju membuat pemantauan rapi dan berterusan ke atas pencapaian indikator utama dan memastikan pelaksanaan intervensi yang perlu ekoran ketidaktentuan ekonomi dunia, konflik geopolitik yang mempengaruhi kenaikan inflasi serta perubahan struktur ekonomi negara yang perlahan,” katanya.

Bukan itu sahaja, Ismail Sabri juga bimbang apabila Malaysia telah menjadi negara menua (aging nation) pada tahun lalu dan dijangka menjadi negara tua (aged nation) pada 2044.

“Sehubungan itu, mesyuarat bersetuju dengan mekanisme mengarus perdana agenda negara menua dan penyediaan satu blueprint Agenda Negara Menua (ANM) yang akan diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi,” katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan komited mencapai matlamat sifar miskin tegar menjelang penghujung 2025 menerusi Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

“BMTKM telah mula pada akhir April 2022 bagi Fasa 1 yang melibatkan 80 lokaliti dan kira-kira 5,000 ketua isi rumah (KIR) secara rintis.

“Pelaksanaan BMTKM akan menggunakan pendekatan baharu yang lebih holistik, bersepadu dan berfokus dengan tumpuan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dalam kalangan KIR miskin tegar secara mampan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya