Penghantar tuntut harga lantai RM5 setiap lima kilometer

Penghantar tuntut harga lantai RM5 setiap lima kilometer

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, harga lantai perlu diadakan dengan kadar yang munasabah bagi memastikan tiada pihak mengeksploitasi hak mereka.

Menurut beliau, ketika ini tiada kadar harga lantai ditetapkan hingga menyebabkan penghantar makanan terbeban dengan bayaran upah perjalanan yang semakin sedikit dan tidak membawa pulangan modul.

“Seperti dalam 10 pelan jangka pendek yang kami bawa semasa sesi dialog bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong tempoh hari ia ada membincangkan mengenai tuntutan penetapan harga lantai bagi caj pengambilan dan penghantaran.

“Bagi pengambilan, kami mahu jarak maksimum untuk mengambil pesanan adalah dua KM dan setiap KM seterusnya kami perlu diberikan sebanyak RM0.50. Sebab ketika ini berlaku, daripada titik A ke titik B, kami tak tahu jumlah insentifnya sedangkan ia semua kos

“Untuk penghantaran kami mahu harga tetap RM5 untuk lima KM pertama, ia juga tak kira sama ada perjalanan penghantaran itu bawah lima KM sekali pun tetap RM5,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, akhbar melaporkan, satu sesi pertemuan diadakan bersama Menteri Pengangkutan, ia juga turut diketuai oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, persatuan, wakil penghantar dan vendor bagi membincangkan masalah yang melanda komuniti p-hailing.

Mengulas lebih lanjut, Zulhelmi berkata, insentif-insentif lain juga perlu diberikan kepada penghantar makanan seperti elaun kerja pada cuti umum, lewat malam dan juga elaun menunggu pengambilan pesanan di vendor.

“Untuk kerja cuti umum dan lewat malam, penghantar makanan perlu dibayar sekurang-kurangnya RM1.50 untuk setiap pesanan.  Bagi caj restoran yang lewat menyediakan pesanan, penghantar makanan perlu diberi RM0.20 bagi setiap minit.

“Ini kerana ada sesetengah kes yang berlaku, penghantar makanan ni kena tunggu lama di restoran atau vendor. Ada juga vendor yang tidak jujur, mereka tekan makanan sudah siap disediakan walhal mereka baru nak buat, akhirnya kami dimarahi oleh pelanggan,” katanya.

Tambahnya, jarak dalam aplikasi penghantar makanan juga perlu diselaraskan dengan jarak sebenar iaitu mengikut seperti sistem aplikasi Waze dan Google Maps.

“Ini kerana, jarak dalam aplikasi tidak sama dengan jarak sebenar. Di dalam aplikasi ia seolah-olah kira mengikut pembaris dari titik A ke titik B walhal jarak di atas jalan raya melebihi jarak yang mereka kira,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, menerusi pemerhatian Utusan Malaysia di laman media sosial terdapat siaran yang mengajak penunggan p-hailing untuk melakukan protes semula pada 26 Ogos ini di hadapan Jabatan Pengangkutan bagi membantah pelaksanaan kewajipan lesen memandu vokasional (GDL).

Walaubagaimanapun, kelmarin, Ka Siong menjelaskan lesen vokasional khas yang dicadangkan kepada penunggang p-hailing kelak tidak sama dengan lesen GDL yang diguna pakai ketika ini.

Beliau memberi jaminan bahawa lesen khas itu tidak akan membebankan pemandu p-hailing sebaliknya bertujuan mendapatkan data sebenar komuniti itu di negara ini demi kebajikan.

Mengulas lebih lanjut, Zulhelmi berkata, kempen protes kali kedua itu sudah terbatal selepas kementerian pengangkutan (MOT) memberi penjelasan sepenuhnya mengenai kerisauan komuniti tersebut.

“Di peringkat persatuan kami amat berterima kasih dengan MOT kerana perihatin apabila kita suarakan mengenai perkara ini, mereka dapat ambil tindakan. Menteri juga ada mengatakan untuk penglibatan persatuan dalam semua libat urus yang akan dibuat selepas ini,” jelasnya.

Sementara itu, Zulhelmi turut memaklumkan 10 tuntutan komuniti p-hailing diterima baik oleh pihak kementerian dan akan dibawa kepada perbincangan untuk diperhalusi lebih mendalam.

Sementara itu di Kota Kinabalu Pertubuhan Hal Ehwal Pengguna dan Pelindung Sabah (CAPS) menyifatkan cadangan menaikkan kadar upah perkhidmatan penghantar makanan atau p-hailing kepada RM5 bagi lima kilometer pertama cukup munasabah.

Timbalan Pengerusi , Datuk A. Nagaraju berkata, sedikit kenaikan itu sudah memadai bagi membolehkan penghantar makanan memperoleh pendapatan yang cukup untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata, dalam keadaan ekonomi yang masih belum stabil dan harga barangan yang semakin meningkat, kadar upah untuk perkhidmatan p-hailing seharusnya dinaikkan.

“Perlu diingat penghantar makanan juga pengguna yang terkesan dengan kenaikan harga barangan.

“Maka, sudah sampai masanya kerajaan campur tangan untuk menetapkan harga lantai bagi kadar upah pengambilan dan penghantaran makanan serta barangan itu,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, pengguna perkhidmatan p-hailing biasanya mereka yang berada dalam kawasan lima kilometer maka, sedikit kenaikan sebegitu tidak akan membebankan pengguna.

Penetapan harga lantai p-hailing itu antara salah satu cadangan dimasukkan dalam Pelan penambahbaikan ekosistem ekonomi gig p-hailing yang diserahkan kepada Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sebelum itu. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN