Penghantar makanan mogok dapat perhatian Perdana Menteri

Penghantar makanan mogok dapat perhatian Perdana Menteri

SATU pertemuan akan diadakan pada Isnin ini melibatkan Setiausaha Politik Perdana Menteri, persatuan, wakil penghantar dan vendor bagi membincangkan isu berkenaan perkhidmatan tersebut .-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kempen protes yang diadakan oleh sebuah kumpulan penghantar makanan akibat tidak berpuas hati dengan potongan kadar upah perjalanan mereka hari ini mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, kempen mogok tersebut membuahkan hasil apabila Ismail Sabri memberi perhatian dan cakna terhadap masalah-masalah dialami oleh penghantar makanan (rider).

Menurutnya, akan ada satu pertemuan tertutup pada 8 Ogos ini (Isnin) bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong yang mana akan turut diketuai oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, persatuan, wakil penghantar dan vendor.

“Petang tadi pihak kami telah dapat berjumpa dengan Setiausaha Politik Perdana Menteri apabila diarahkan oleh Perdana Menteri yang begitu cakna akan isu rider yang viral pada hari ini.

“Saya percaya kerajaan sudah pun mengetahui asas lima tuntutan hak penghantar yang kami bawa sebelum ini bersama Sekretariat Hal Ehwal Pekerja Muda PPUM. Kini sudah tiba masanya untuk tindakan segera diambil agar penindasan dan manipulasi ini dapat menemui jalan keluarnya.” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kumpulan penghantar makanan bagi beberapa syarikat penghantaran makanan dalam negara melancarkan mogok untuk 24 jam bermula tengah malam ini.

Mengulas lebih lanjut, Zulhelmi berkata, antara tuntutan itu adalah menjadikan pekerjaan ekonomi gig sebagai pekerjaan yang diiktiraf dan dilindungi dibawah Akta Kerja 1955.

“Kerajaan dipohon untuk mewujudkan peraturan dan badan kawal selia bagi mengawal permasalahan teknikal yang berlaku dalam kalangan penyelia perkhidmatan serta penghantar berkaitan sistem kerja, kadar upah, komisen, harga lantai, peta digital, jarak pesanan dan sebagainya.

“Penghantar juga menuntut penjagaan kebajikan dan perlindungan keselamatan penghantar iaitu kerajaan harus memastikan kaedah terbaik bagi penyedia perkhidmatan untuk menyediakan perlindungan seperti KWSP dan Perkeso.

“Kami amat berharap agar kerajaan dapat memberikan bantuan khusus kepada penghantar dalam belanjawan tahunan dan bagi menjamin pekerjaan ketika waktu susah ini, kami mendesak penyedia perkhidmatan menangguhkan penggantungan serta penamatan yang tidak bersalah,” katanya.- utusan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya