PUTRAJAYA: Menjelang akhir tahun depan, kesemua 10,765 buah sekolah di seluruh negara dilengkapi perkakasan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) menerusi kaedah baharu.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pendekatan unik secara sewa guna itu menggantikan kaedah pembelian yang dikesan terdedah pelbagai risiko besar.
“Transformasi perolehan komputer baharu ini dilihat akan mengurangkan beban kementerian bagi kerja selenggara rutin dan pembaikan kerosakan,” katanya pada sidang akhbar di sini.
Terdahulu, beliau melancarkan secara rasmi Majlis Transformasi Pendidikan: Pemerkasaan ICT (2019-2023) di dewan besar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putrajaya Presint 18 (1).
Ia selaras misi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) ke arah penggunaan teknologi digital dalam ekosistem sekolah termasuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP).
Pada acara itu, beliau menyerahkan peranti kepada 25 buah sekolah di Putrajaya bagi keperluan PdP di bawah Projek Perkhidmatan Sewaan Perkakasan ICT secara sewa guna.
Dr. Radzi berkata, transformasi pendekatan itu menyaksikan penggantian semua perkakasan lama termasuk komputer usang jenis meja kepada riba yang mudah alih.
“Ini dibuat secara tiga fasa dengan fasa pertama bermula tahun lalu malah siap 90 peratus melibatkan sebanyak 3,910 buah sekolah termasuk di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Kementerian jelasnya, memperuntukkan RM411 juta, manakala bagi fasa berikutnya pula yang dimulakan akhir tahun ini dijangka meliputi 3,455 buah sekolah lagi dengan bajet RM460 juta.
Baki fasa terakhir yang membabitkan sebanyak 3,400 buah sekolah dengan peruntukan RM430 juta akan siap hujung tahun depan dan keseluruhan projek tersebut berjumlah RM1.3 bilion.
Penggantian itu tambah beliau, turut meliputi penambahbaikan prasarana ICT seperti capaian internet, kelajuan rangkaian jalur lebar dan peralatan selama lima tahun termasuk waranti.
Dengan kaedah baharu itu kata Dr. Radzi, pihak sekolah tidak lagi perlu bimbang untuk memikirkan urusan baik pulih jika berlaku kerosakan atau penyelenggaraan yang merumitkan.
“Semua ini akan diuruskan sendiri oleh pihak vendor atau pembekal yang dilantik mengikut kawasan tertentu dengan kementerian menetapkan 10 zon berbeza di seluruh negara,” tegasnya.
Uniknya kata beliau, pihak sekolah juga akan menerima peralatan baharu selepas lima tahun dan dibekal dengan talian gentian optik berkelajuan tinggi serta liputan stabil sepanjang masa.
Pada masa sama, kemudahan ICT itu tidak lagi terhad kepada pejabat pentadbiran, bilik guru dan pusat sumber, sebaliknya ia akan menjangkaui keseluruhan kawasan sekolah berkenaan.
Pendekatan baharu itu jelasnya, bakal menjadikan PdP boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja termasuk di kelas, dewan, surau, makmal, gelanggang sukan atau padang tanpa masalah.
Dalam nada optimis, beliau berharap kaedah terkini itu akan meningkatkan lagi mutu PdP dan penggunaan teknologi digital di bawah ekosistem pendidikan negara ke arah yang lebih cekap.
Transformasi tersebut juga kata Dr. Radzi, akan mengubah landskap pendidikan nasional agar seiring dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia serta pelbagai Inisiatif MyDigital. – UTUSAN










