PETALING JAYA: Tindakan seorang penagih dadah menceroboh stor surau di AU3/1 Taman Keramat untuk mencari makanan mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.
Suspek berusia 47 tahun itu ditahan ketika sedang tidur di kawasan surau terbabit selepas memecah masuk stor surau itu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, ahli jawatankuasa (AJK) surau pada mulanya menerima mesej daripada kumpulan WhatsApp surau memaklumkan kejadian pecah masuk pada pukul 7.30 pagi.
Katanya, pemeriksaan di surau itu mendapati terdapat kesan umpil di bahagian pintu stor, tombol dan mangga dirosakkan selain stor berselerak.
“Susulan itu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang menahan suspek di pekarangan surau itu pada pukul 3 petang.
“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki dua rekod narkotik dan masih dikehendaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Jelasnya, keterangan awal suspek mendapati dia menceroboh stor surau itu ketika di bawah pengaruh dadah dan untuk mencari makanan.
“Suspek dibawa ke Mahkamah Ampang pagi ini bagi reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun keseksaan yang merujuk kepada melakukan kesalahan pencerobohan jenayah,” katanya. – UTUSAN










