PETALING JAYA : Pemimpin Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) yang terbabit dalam menjaga kepentingan kebajikan masyarakat setempat diingatkan supaya lebih berwaspada kerana mereka berisiko tinggi terdedah dengan unsur jenayah salah laku tuntutan palsu membabitkan dana kewangan.
Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ramli Hassan berkata, wakil penduduk yang terbabit dalam penganjuran sebarang program atau aktiviti kemasyarakatan setempat diminta lebih bertanggungjawab dan berhati-hati ketika menguruskan dana kewangan yang diperolehi mereka.
Kata beliau, MPP ini banyak berisiko terdedah dengan kesalahan di bawah kategori tuntutan palsu dan juga berisiko menghadapi tindakan di bawah Seksyen 18 SPRM 2009, bahaya yang wujud untuk mereka tanpa disedari.
“Selain itu kalau mereka menyedari unsur (tuntutan palsu) berlaku dan jika tak dilaporkan kepada SPRM, itu satu kesalahan boleh diambil tindakan.
“Begitu juga jika seseorang itu meminta rasuah tetapi tidak dilapor kepada pihak berkuasa salah juga di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM, jika di bawah Seksyen 25(3) kalau siapa-siapa nak bagi rasuah tetapi anda tidak menerima dan tidak melaporkan perkara itu kepada SPRM juga satu kesalahan serius boleh didenda RM10,000 dan dua tahun penjara,”katanya..
Beliau menyatakan demikian dalam Program Dialog SPRM bersama 150 wakil MPP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dekat sini hari ini.
Dialog anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkenaan adalah bertujuan memberikan pendidikan dan kesedaran tentang jenis kesalahan rasuah mengeratkan lagi komunikasi kedua-dua pihak tersebut dalam memerangi gejala itu demi pembangunan masa depan yang harmoni dan berintegriti.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MPP perlu diberi pengetahuan mengenai risiko rasuah dan impaknya supaya boleh dikongsikan kepada ahli-ahli perwakilan dan juga masyarakat setempat.
“Sebagai wakil atau pemimpin MPP anda pasti menerima peruntukan dana daripada kerajaan untuk membuat program dan aktiviti kemasyarakatan, sumbangan dan sebagainya maka saya menasihatkan supaya memastikan setiap peruntukan yang kita dapat dibelanjakan kepada mereka yang berhak maksud saya biarlah sampai kepada mereka yang berhak bermanfaat dengan mematuhi garis panduan dan peraturan yang ditetapkan.
“Sebab kalau kita tidak ikut peraturan dan garis panduan, jika berlaku sesuatu di kemudian hari nanti anda sebagai pengerusi MPP yang akan bertanggungjawab, bukan sekadar menjawab rasional perbelanjaan itu, tetapi juga berdepan pelbagai risiko lain juga,”jelasnya.- UTUSAN










