Pemilik kedai Roti Canai Janda bertunang

Pemilik kedai Roti Canai Janda bertunang

NORASIAH Abdul Rahman (kanan) bakal melangsungkan perkahwinan dengan buah hatinya pada Oktober nanti ketika ditemui di Kampung Baru Derang, Pokok Sena, Kedah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Berita ini barangkali membuatkan banyak lelaki ‘makan hati’ kerana pemilik kedai Roti Canai Janda di Kampung Baru Derang, di sini yang popular kini sudah bergelar tunangan orang.

Setelah 15 tahun menjanda, pemilik kedai berkenaan, Norasiah Abdul Rahman, 48, akan mengahwini buah hatinya yang berusia 29 tahun Oktober ini.

Menurut Norasiah, perkahwinan dengan duda anak seorang yang dikenali melalui aplikasi TikTok itu direstui anak-anak­nya termasuk anak sulung, Nurul Nadia Ismail, 28, yang hampir sebaya dengan bakal suaminya itu.

“Itulah dinamakan jodoh. Dulu memang cakap tak bersedia nak kahwin lagi dan banyak lelaki yang mengorat tetapi ditolak. Nampaknya semua itu sudah berubah. Saya dilamar dan bertunang selepas Hari Raya Haji lepas.

“Anak-anak semua merestui ikatan ini termasuk anak sulung, Nurul Nadia yang hampir sebaya dengan bakal suami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedai tersebut, semalam.

Menurut Norasiah, dia reda menerima jodoh itu walaupun perbezaan usia yang jauh dengan bakal suaminya dikenali sebagai Adam, iaitu lebih 19 tahun.

“Kami berkenalan di TikTok, mula tunang yang mesej dahulu untuk sembang dan daripada situ kami mengenal hati budi masing-masing.

“Kejujurannya memikat saya kerana walaupun muda, dia bukan seperti kebanyakan lelaki lain yang hanya suka-suka nak mempermain golongan janda seperti saya. Kami kenal pun beberapa bulan sahaja dan selepas itu dia terus ajak saya kahwin,” kata ibu tunggal anak tiga ini.

Ketika ditanya adakah mereka akan menukar nama restoran berkenaan kerana status janda itu barangkali tidak relevan lagi setelah dia berkahwin, kata Norasiah, perkara itu masih dalam perbincangan mereka.

“Belum fikir lagi tetapi mungkin tukar rasanya, jadi kedai Roti Canai Kahwin ke atau mungkin kekal saja sebab anak saya (Nurul Nadia) masih janda. Janda atau isteri orang, saya percaya itu tak jadi masalah jika makanan yang disediakan memuaskan hati pelanggan,” katanya.

Sementara itu, wanita ber­kenaan memberitahu, sejak tular selepas kisahnya disiarkan dalam akhbar ini, restoran tersebut terus menjadi tumpuan ramai termasuk dari luar Kedah.

“Saya pernah mendapat panggilan dari Kelantan dan Sarawak minta kami poskan roti canai ke tempat mereka. Luculah. Di sini pun banyak orang luar datang makan dan mereka kadangkala semata-mata ke sini untuk makan sahaja. Alhamdulillah.

“Walaupun berkahwin nanti, saya berharap dapat terus berniaga di sini. Apa pun saya dan bakal suami akan bincangkan dengan teliti kerana dia bekerja di Kulim,” katanya.

Restoran Roti Canai Janda itu sebelum ini tular dalam media sosial setelah kisahnya tersiar di akhbar ini dua tahun lepas terutama slogan yang diguna untuk menarik perhatian pelanggan, Nikmat Tak Terlupa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya