Pemilik Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup

Pemilik Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias mengesahkan pemilik Crackhouse Comedy Club disenarai hitam seumur hidup daripada mendaftarkan lesen perniagaan di mana-mana premis di sekitar ibu negara.

Jalaluddin berkata, Jawatankuasa Pelesenan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang bermesyuarat pada 29 Julai juga bersetuju membatalkan lesen perniagaan kelab komedi berkenaan berkuat kuasa 30 Julai lalu.

“Malah, kita juga mengambil keputusan menyenarai hitam pemilik kelab ini untuk mendaftarkan lesen perniagaan di Kuala Lumpur buat selama-lamanya. Ini bermakna pemilik kelab itu tidak boleh mendaftarkan sebarang aktiviti perniagaan di Kuala Lumpur.

“Ia termasuk jika pemilik kelab berkenaan menggunakan nama dan syarikat berlainan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengetuai Operasi Bersepadu di Pasar Borong Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Menurut Jalaluddin, pihaknya sedang memantau beberapa kelab yang disyaki terbabit dengan aktiviti sama seperti Crackhouse Comedy Club di sekitar ibu negara.

“Sebarang lesen hiburan yang kita kemuka dan keluarkan kepada setiap premis mesti mengikut peraturan ditetapkan. Bagi pihak yang melanggar syarat pelesenan, maka mereka tidak akan terlepas daripada tindakan tegas.

“Pada masa sama, tindakan, pemantauan serta pemeriksaan akan dilakukan secara berkala oleh DBKL kerana kita tidak mahu ada mana-mana pihak yang terlepas daripada tindakan kami,” katanya.

Pada 13 Julai lalu, operasi Crackhouse Comedy Club di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) digantung sementara operasi oleh DBKL selepas didapati tidak mempunyai lesen hiburan sejak 2014 hingga 2017.

Sebelum ini, pengasas dan pemilik bersama Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan memuat naik video di tiga platform media sosialnya yang menyentuh isu sensitiviti perkauman.

Terdahulu, Siti Nuramira Abdullah, 26, yang tular selepas menanggalkan baju kurung dan tudungnya di kelab komedi mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebabkan suasana tidak harmoni menggunakan agama di kalangan sesama Islam di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu.

Malah, teman lelakinya yang juga penulis bebas, Alexander Navin Vijayachandran turut didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan memuat naik kandungan jelik di media sosial pada hari sama. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya