Pembangkang ulangi skrip sama hadapi PRU15 - Utusan Malaysia

Pembangkang ulangi skrip sama hadapi PRU15

JEFRIDIN Atan (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Abdul Azeez Abdul Rahim selepas Majlis Perasmian Berkelompok dan Mesyuarat Cawangan UMNO Bahagian Tanjung Piai di Pekan Nanas, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pembangkang akan mengulangi ‘skrip’ yang sama dengan mula menghasut, memfitnah dan menabur janji-janji palsu seperti yang dilakukan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul  Rahim berkata, gerakan itu telah dimulakan oleh beberapa pemimpin pembangkang, namun pada masa sama mengingatkan rakyat supaya tidak tidak mudah terpengaruh.

Menurutnya, kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang telah memerintah negara selama 22 bulan juga disebabkan pertelingkahan dan ketidaksefahaman dalam kalangan pemimpin mereka, bukan disebabkan pihak lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelbagai tuduhan yang dilemparkan kepada kerajaan hari ini seperti ‘tebuk atap’, ‘pintu belakang’ dan sebagainya adalah berpunca daripada mereka sendiri yang gagal menjadi kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat.

“UMNO berharap ‘pisang tidak berbuah dua kali‘ pada PRU15 dengan rakyat telah dapat menilai apa yang dilakukan dalam tempoh pemerintahan mereka itu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Berkelompok dan Mesyuarat Cawangan Bahagian Tanjung Piai di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, di Pekan Nanas, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, rakyat juga perlu diberikan kefahaman siapa yang telah mengkhianati mereka menerusi manifesto yang akhirnya bukan dianggap sebagai kitab suci.

“Kerana bukan dianggap sebagai kitab suci, mereka dengan mudah mengatakan tidak dapat menunaikan janji-janji yang mereka taburkan sebelum ini,” katanya sambil menegaskan bahawa parti-parti yang bertanding pada PRU15 kebanyakannya lahir daripada ‘perut’ UMNO seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) hanya disebabkan kuasa dan kepentingan diri.

Malah katanya, penubuhan Gerakan Tanah Air (GTA) yang ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga dibarisi oleh mereka yang pernah menjadi ahli dan pemimpin UMNO.

“Ini menunjukkan mereka masih tidak berpuas hati dan inginkan UMNO jatuh dan tidak dapat memerintah negara ini selepas PRU15 dengan memecahbelahkan undi bagi orang Melayu,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau menyarankan supaya Wanita UMNO mewujudkan Jalinan Rakyat Plus (Jalinan Rakyat Plus) dengan melibatkan Pemuda dan Puteri UMNO bagi mengenal pasti dan mendekati pengundi muda memandangkan kehadiran 7.8 juta pengundi muda apabila Undi18 dilaksanakan kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×