SUNGAI PETANI: Seorang pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan memandu secara bahaya pada minggu lalu.
Majistret M. Kalaiarasi menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Nabil Fikri Azman, 23, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan keatasnya.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu dengan cara gopoh atau cuai hingga mungkin menyebabkan cedera atau bencana kepada orang lain.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 11.45 pagi di lampu isyarat Bandar Laguna Merbok di sini, pada 15 Ogos lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum bawah akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Preeyaa, manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Dina Mohd. Shukri.
Terdahulu, Nor Dina memohon agar hukuman ringan dikenakan memandangkan tertuduh yang hanya bekerja kampung masih menanggung isteri serta dua anak yang masih kecil.
Dalam kejadian sebelum ini, Muhammad Nabil Fikri yang memandu kereta Perodua Alza bersama seorang rakan berusia 21 tahun ditahan polis selepas dikejar sejauh kira-kira 36 kilometer kerana ingkar arahan ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang.
Ketika dikejar, suspek juga telah merempuh sebuah kereta Honda Accord yang dipandu remaja berusia 19 tahun.-UTUSAN










