Pelancong asing dari Thailand perlu jalani saringan cacar monyet - Utusan Malaysia

Pelancong asing dari Thailand perlu jalani saringan cacar monyet

GAMBAR diedarkan Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom menunjukkan jangkitan cacar monyet pada tangan dan bahagian-bahagian tubuh badan lain. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) akan menjalankan ujian saringan ke atas setiap pelancong asing dari Thailand yang masuk ke negara ini melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) dalam usaha mencegah penularan jangkitan cacar monyet.

Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Husin berkata, saringan itu bagi membolehkan JKNK mengenal pasti sekiranya tanda-tanda berkait penyakit tersebut terdapat pada pelancong asing dari negara jiran itu masuk ke negeri ini.

Menurutnya, langkah memperketat kawalan diambil susulan kerajaan Thailand mengeluarkan amaran berkait dengan kes jangkitan tersebut yang dikesan di negara Gajah Putih itu.

“Pada masa yang sama, kita turut menjalinkan kerjasama dengan pihak kesihatan di negara berkenaan khususnya kawasan sempadan. Jika Thailand mempunyai maklumat berkait dengan penyakit cacar monyet termasuk jangkitan lain mereka akan maklum kepada kita.

DR. Zaini Husin (tiga kiri) semasa melancarkan Semarak Bulan Kemerdekaan dan Kibarkan Jalur Gemilang di Wisma Persekutuan anjuran Jabatan Penerangan Kelantan di Kota Bharu, Kelantan hari ini. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

“Begitulah sebaliknya, jika di Malaysia mempunyai jangkitan melibatkan penyakit berjangkit, pinhak JKNK akan memaklumkan kepada negara jiran,” katanya ketika mengulas amaran yang dikeluarkan oleh kerajaan Thailand mengenai cacar monyet selepas merasmikan Semarak Bulan Kemerdekaan dan Kibarkan Jalur Gemilang di Wisma Persekutuan anjuran Jabatan Penerangan Kelantan di sini hari ini.

Dr. Zaini memberitahu, selain itu JKNK sudah mengaktifkan bilik gerakan untuk membuat pemantauan bagi melihat situasi dan perkembangan terkini jangkitan cacar monyet.

Katanya, JKNK sudah mengarahkan semua klinik-klinik kesihatan termasuk swasta untuk membuat laporan sekiranya mengesan jangkitan tersebut.

“Walaupun tiada jangkitan dikesan setakat ini, JKNK sentiasa bersiap sedia untuk berdepan sebarang kemungkinan.

“Mengenai jangkitan Influenza di negeri ini, alhamdulillah ia semakin menurun dan keadaan menjadi bertambah baik. Penggunaan katil-katil di hospital sudah dapat diuruskan dengan baik berbanding dua bulan sebelum ini yang agak sesak,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya