Pelan komprehensif hadapi cabaran jenayah baharu - Acryl Sani

Pelan komprehensif hadapi cabaran jenayah baharu – Acryl Sani

ACRYL SANI ABDULLAH SANI 
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelan keselamatan komprehensif perlu dirangka Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendepani cabaran jenayah baharu seperti  pornografi kanak-kanak, buli siber dan pemerdagangan manusia. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, langkah pencegahan berterusan dan berstrategi serta pembanterasan jenayah secara agresif dan menyeluruh mampu membina persepsi positif terhadap PDRM sekali gus menaikkan imej pasukan tersebut di mata masyarakat. 

“Dari sudut pandang jenayah, saya berharap Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) terus mengekalkan komitmen dalam usaha bersama mengurangkan indeks jenayah.

“Pada masa sama, untuk kita merangka pelan keselamatan yang komprehensif bagi mendepani cabaran jenayah baharu seperti pornografi kanak-kanak, siber seksual, buli siber dan pemerdagangan manusia yang semakin mendapat perhatian masyarakat, “katanya dalam amanat menerusi Perhimpunan Bulanan Ogos 2022 di Bukit Aman, hari ini.

Dalam majlis itu, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 65 pegawai polis dan pegawai awam yang menunjukkan prestasi cemerlang sepanjang perkhidmatan.

Sementara itu, beliau menzahirkan perhargaan kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri ekoran pelanjutan tempoh kuat kuasa Seksyen 4 (5) Akta Kesalahan Keselamatan (Akta Langkah-langkah Khas 2012 (SOSMA) serta Rang Undang- Undang Suruhanjaya Bebas Tata Kelakuan Polis (IPCC) 2020 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 27 Julai lalu. 

Ujarnya, kepercayaan serta sokongan diberikan kepada institusi polis harus dibalas sebaik-baiknya menerusi penyampaian perkhidmatan terbaik, di samping memastikan kesejahteraan masyarakat dan keamanan negara kekal menjadi keutamaan pasukan.

Beliau turut mengingatkan semua anggota PDRM meletakkan diri pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dan sedia berkhidmat dalam apa jua situasi.

“Jika dahulu pejuang negara berjaya menuntut kemerdekaan daripada penjajah, kini kita pula berada pada era untuk mengekalkan kemerdekaan sebuah negara berdaulat agar ia tidak kembali dijajah dalam apa jua bentuk ancaman mendatang.

“Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa keutuhan integriti dan disiplin diri tinggi adalah perkara utama serta tidak boleh dikompromi khususnya membabitkan isu keselamatan negara.

“Jelas sekali bahawa integriti adalah teras dalam pembentukan dan pemantapan jati diri kita, tanpa jati diri dan integriti kukuh, sudah semestinya dan pastinya kita akan berhadapan dengan kegagalan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.