Pelakon senior masih laku

Pelakon senior masih laku

AARON AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Datuk Aaron Aziz dan Datuk Fizz Fairuz menegaskan, usia bukan faktor yang menentukan seseorang pelakon itu masih laris dalam dunia lakonan atau sebaliknya.

Bagi Aaron, 46, rezeki dan kerja keras yang meletakkan seseorang pelakon itu di mana mereka berada sekarang.

“Tidak timbul soal pelakon muda atau berusia. Faktor tersebut tidak menentukan sama ada pelakon itu masih laku atau tidak.

“Saya percaya kepada rezeki dan usaha masing-masing dan tidak pernah pening kepala memikirkan sama ada masih relevan atau tidak.

“Ia bergantung kepada tanggapan masing-masing. Kalau anda anggap pelakon baharu sebagai persaingan dan halangan, maka ia akan jadi begitu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut, pemenang Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Telenovela 2016 itu berkata, untuk terus kekal, seseorang pelakon perlu mempelbagaikan profil lakonan dan rajin meneroka watak yang berlainan.

“Saya tidak mahu melakonkan watak yang sama. Disebabkan itu, saya ambil tawaran berlakon sebagai lelaki yang menyukai kaum sejenis dalam drama Suamiku Lelaki Pendosa, selain memainkan peranan antagonis.

“Jangan asyik jadi hero sahaja. Kena rajin pelbagaikan watak agar tidak dipandang stereotaip,” ujarnya.

Sementara itu, Fizz Fairuz pula berpendapat, pelakon senior masih relevan untuk memegang peranan hero, malah kekal mendapat permintaan daripada penerbit dan stesen televisyen.

Bagaimanapun, katanya, sebagai pelakon yang sudah lama bertapak dalam industri, dia tidak lagi mengejar kuantiti, sebaliknya lebih mengutamakan kualiti.

FIZZ FAIRUZ

“Saya masih lagi ditawarkan peranan hero. Namun, saya akan pastikan tawaran yang diterima bersesuaian dengan diri.

“Pada tahap sekarang, apa yang saya utamakan adalah skrip dan watak. Saya akan nilai dan pertimbangkan agar kemunculan saya memberi impak.

“Usia bukan penentu seorang pelakon itu layak atau tidak untuk membawakan watak hero. Sebaliknya, pengalaman dan kualiti lakonan kami mungkin jauh lebih baik berbanding pelakon baharu,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN