KULIM: Seorang lelaki pekerja pembersihan di sebuah syarikat maut ketika menjalankan kerja memotong rumput akibat dilanggar sebuah kereta dalam kemalangan di Taman Selasih, hari ini.
Dalam kejadian pukul 1.14 petang itu, mangsa berusia 68 tahun dilanggar sebuah kereta jenis Proton Iswara dipandu seorang lelaki berusia 77 tahun ketika memotong rumput di tepi Jalan 4 Taman Selasih.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, kereta terbabit datang dari arah pusat perniagaan Taman Selasih menghala ke arah Jalan 8/3 taman yang sama.
“Bagaimanapun, apabila tiba di tempat kejadian secara tiba-tiba pemandu kereta terbabit hilang kawalan lalu melanggar mangsa yang berada di tepi kiri jalan.
“Pelanggaran itu mengakibatkan mangsa terperosok di bawah kereta dan orang ramai membantu mengeluarkanbta. Namun pegawai perubatan mengesahkan mangsa maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Redzuan berkata, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan sementara mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik untuk bedah siasat.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










