Peka saran kerajaan sekat Facebook

Peka saran kerajaan sekat Facebook

ZUHAIRI ABD KADIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) mencadangkan kerajaan menyekat penggunaan Facebook seperti mana dilaksanakan di Arab Saudi yang mengharamkan laman sosial itu dan lain-lain seperti Twitter, Viber, Youtube, Skype dan juga WhatsApp.

Presidennya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, larangan penggunaan Facebook turut dilaksanakan di Rusia, Korea Utara, Bangladesh, Pakistan, Vietnam, China dan Jepun.

Beliau berkata, sampai masanya kerajaan melaksanakan perkara itu kerana penggunaan laman sosial tersebut dilihat mendatangkan banyak keburukan dari kebaikan.

Menerusi Facebook, katanya, banyak tulisan berunsur fitnah dan mengkritik dasar kerajaan disebarkan di laman sosial itu sekali gus menimbulkan kemarahan pelbagai pihak.

“Kehidupan masyarakat berbilang kaum juga begitu mudah terganggu disebabkan oleh pelbagai kritikan berunsurkan perkauman yang kesannya boleh membawa pergaduhan sesama masyarakat.

“Sesungguhnya, laman sosial ini boleh mencetuskan sesuatu isu sensitif sehingga sukar dikawal dan membawa kemusnahan yang besar,”  katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Zuhairi berkata, menerusi Facebook juga, banyak tersebar pengaruh atau unsur pornografi yang mana bahan bacaan, gambar dan video lucah mudah diakses serta disebarkan oleh pengguna laman sosial tersebut.

“Perkara ini akan mempengaruhi pemikiran remaja dan orang ramai untuk meniru budaya buruk itu sehingga menghakis nilai-nilai moral kehidupan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan boleh membenarkan penggunaan Facebook tetapi ia perlu dimohon dan difaftarkan serta turut dinyatakan tujuan utama untuk menggunakan laman sosial terbabit. 

“Perlu ada rekod seperti konsep MySejahtera. Dengan cara ini, ia akan memudahkan pihak kerajaan mengesan jika ada maklumat, berita atau apa sahaja unsur tidak baik yang disiarkan di Facebook. 

“Jika penggunaan Facebook terus dibiarkan bebas seperti sekarang,  lebih banyak akaun palsu akan wujud yang bertindak menyebarkan pelbagai fitnah dan dakyah, menghina institusi diraja serta pemimpin negara.

“Ini perlu disekat oleh kerajaan dan Peka akan menghantar petisyen kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya saranan ini dapat diluluskan dan dilaksanakan,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya