Pas tidak salah catur langkah dengan PN

Pas tidak salah catur langkah dengan PN

AHMAD Amzad Hashim (depan, tengah) diiringi oleh Presiden Persatuan Down Sindrom Negeri Kelantan, Wan Noriah Wan Ramli untuk melihat perkembangan program inovasi sosial bagi membantu membina kebolehan kendiri anak-anak sindrom down di Kubang Kerian, Kelantan semalam. - FOTO/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Tindakan Pas ‘berkawan’ dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN) bukan satu kesilapan kerana ia dibuat selepas mengambil kira soal penyatuan ummah dan berteraskan kepada ketetapan harus memilih satu-satu kelompok tertentu sahaja.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim menjelaskan bahawa parti itu sentiasa istiqomah dalam soal menyatukan orang Melayu dan Islam di dalam negara ini.

Menurutnya, mana-mana orang Melayu dan Islam yang merupakan majoriti besar dalam Malaysia perlu disatukan untuk membolehkan teras dalam membentuk masyarakat bersatu padu dapat dilaksanakan.

“Bagaimana kita hendak mewujudkan sebuah kerajaan yang betul-betul kuat kalau penyatuan itu hanya melibatkan peratus yang sedikit sedangkan tunjang kepada kekuatan adalah penyatuan rakyat.

“Kerana itu Pas tetap berpegang bahawa dalam soal menyatupadukan rakyat kita tidak boleh mengehadkan kerjasama contohnya dengan UMNO sahaja,” katanya pada sidang media semasa lawatan untuk melihat perkembangan inovasi sosial bagi membantu anak-anak sindrom down di Kubang Kerian di sini, semalam.

Baru-baru ini Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali dipetik sebagai berkata, Pas telah tersilap langkah apabila memilih untuk ‘berkawan’ dengan Bersatu dan bukan dengan ‘UMNO’.

Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas itu menyifatkan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sebagai ‘parti kecil’ dan akan menurut sekiranya Presiden, Tan Sri Abdul Hadi Awang memilih untuk mempertahankan hubungan dengan UMNO.

Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains dan Teknologi (MOSTI) memberitahu, Pas perlu mengajak pihak-pihak yang mempunyai keikhlasan untuk bersatu, termasuk juga dalam kalangan orang bukan Melayu dan Islam yang tidak mempunyai pendirian ekstrem.

Katanya, ramai kawan-kawan Pas dalam kalangan bukan Melayu serta Islam yang tidak ekstrem serta menghormati kedudukan Islam dan keistimewaan orang Melayu dalam negara ini.

“Jadi kita bersatulah. Kenapa perlu mengehadkan penyatuan kerana lebih baik kita berkawan dengan semua pihak. 

“Islam sendiri mengajar kita supaya meramaikan kawan dan saya rasa itulah cara yang betul,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya