PETALING JAYA: Parti Pas tidak akan membiarkan Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa di Putrajaya sampai bila-bila.
Tekad itu dinyatakan Ketua Penerangannya, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin sekali gus memberi jaminan akan memastikan semua jenteranya menumpukan fokus 100 peratus bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Menurutnya, episod sejarah politik tanah air dipenuhi kekesalan kerana Pakatan Harapan (PH) memerintah dalam keadaan menipu rakyat, tidak bersedia, berpecah-belah dan jatuh menjatuhkan antara satu sama lain.
“Lebih malang apabila PH yang dalam keadaan kucar-kacir dan hilang fokus ketika mentadbir, cuba pula merobek prinsip-prinsip tunjang dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara yang menjadi asas kepada jati diri negara serta rakyat Malaysia.
“Mimpi ngeri selama 22 bulan mereka mentadbir pasti akan menjadi pengajaran bermakna buat rakyat Malaysia dan pedoman buat generasi undi-18 akan datang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa para pengundi supaya tidak salah memilih pada PRU15 dengan memilih PN yang menitikberatkan aspek perjuangan integriti.
Sementara itu, Khairil Nizam berkata, PN lahir dalam keadaan yang luar biasa sebagai wadah alternatif kepada PH yang terbukti gagal sepanjang mentadbir negara. –UTUSAN










