Pas cari jalan runding isu kerusi dengan UMNO - Utusan Malaysia

Pas cari jalan runding isu kerusi dengan UMNO

UMNO dilihat boleh menang tanpa Pas. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pas akan mencari jalan untuk membuat perbincangan mengenai pembahagian kerusi dengan UMNO bagi mendepani Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Penerangan Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin berkata, perbincangan awal itu adalah bagi mengelakkan mana-mana parti terlalu dominan dan membuat jajaran baharu.

“Kita kena ada pertimbangan berani antara UMNO, Pas dan Bersatu untuk jatuhkan Pakatan Harapan (PH) tetapi kita tidak mahu ada pihak ketiga yang terlalu dominan sehingga boleh buat kerajaan baharu selepas PRU15. Saya tahu, UMNO mahu bertanding banyak kerusi supaya dia boleh buat apa sahaja selepas PRU15.

“Katakan kalau UMNO dapat 60 kerusi, Pas 40, Bersatu 20 dan kita boleh bentuk kerajaan, tambah GPS, 15, kita boleh dapat majoriti selesa. Katakan juga 40 kerusi daripada DAP. Jadi kalau ada jajaran baharu, UMNO, DAP ada 100, nak dapat 12 kalau dia ‘berunding pintu belakang’ dengan PKR, dia boleh ambil PKR, dia boleh buang Pas dengan Bersatu,” katanya ketika ditemui, semalam.

Katanya, meskipun rundingan kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) sudah lama ‘tersadai’, usaha ke arah perundingan itu sedang berjalan, malah turut mendapat respons positif daripada pemimpin UMNO.

“Sebab UMNO tahu akan ada beberapa kerusi yang mereka akan kalah jika bertanding tiga penjuru, jadi mahu atau tidak, kita perlu berunding dalam isu ini,” jelasnya.

Ditanya krisis antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kebanyakannya adalah bekas ahli UMNO, Khairil berkata, adalah tidak wajar jika rundingan pembahagian kerusi ditolak hanya kerana 18 kerusi ‘melompat’ yang direbutkan.

“Kerusi Bersatu lompat ada 18, takkan kerana 18 awak mahu korbankan semua kerusi? Itulah kena bincang. Mungkin Bersatu tak akan pergi 18 secara keseluruhan. Mungkin mereka akan bincang kerusi-kerusi baharu. Mungkin penyandang tertentu sahaja yang akan dikekalkan. Takkan tidak beri laluan, perkara itu boleh dibincang lagi.

“Tetapi, terpulang kepada UMNO, kalau mereka buka pintu perbincangan, kita akan bincang. Dan perbincangan itu mesti menguntungkan semua pihak sebab kita ambil dua perkara asas tadi, tidak terlalu dominan dan mesti kalahkan PH pada PRU akan datang,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN