Pas ada pelan B jika tiada kerjasama dengan UMNO

Pas ada pelan B jika tiada kerjasama dengan UMNO

PENYERAHAN bendera Pas sebagai panji simbolik dilakukan Ahmad Fadhli Shaari (dua dari kiri) sempena Majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang di Pusat Pengajian Darul Hadis, Tasek Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TASEK GELUGOR: Pas mempunyai alternatif dan memiliki pelan B sekiranya UMNO berterusan tidak berminat menjalin apa-apa hubungan atau persefahaman dengan parti itu khususnya melalui Muafakat Nasional (MN).

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, walaupun Pas dilihat masih lagi berusaha untuk menjalin persefahaman dan perundingan dengan UMNO ketika ini, parti itu tetap bersedia berdepan dengan sebarang situasi terburuk jika tiada sebarang perundingan berlaku.

 Pada masa ini, katanya, isyarat daripada ucapan terkini Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan permuafakatan itu hanya boleh dilakukan selepas Pilihan Raya Umum Ke -15 (PRU15) jelas menunjukkan tidak ada sebarang kerjasama dibentuk antara kedua-dua pihak.

“Tapi, jika ada (kerjasama), itu lebih baik kerana  memberi lebih tekanan kepada PH (Pakatan Harapan). Bagaimanapun, jika tidak ada apa-apa persetujuan pun kita tidak ada masalah untuk menghadapi PRU15.

“Insya-Allah, kita yakin rakyat terus memberi sokongan kepada Pas,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Negeri Pulau Pinang kali ke-42 di Pusat Pengajian Darul Hadis, di sini hari ini. 

Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, tarikh pembubaran Parlimen bagi membolehkan PRU15 diadakan bergantung kepada keadaan politik semasa dalam UMNO ketika ini.

Justeru, beliau membayangkan PRU-5 mungkin diadakan dalam masa yang terdekat jika melihat kepada perkembangan semasa ketika ini.

Ahmad Fadhli berkata, politik dalaman UMNO itu penting kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Naib Presiden UMNO sudah pasti mengambil kira pandangan partinya terlebih dahulu sebelum membubarkan Parlimen.

“Apabila Perdana Menteri mengumumkan kerjasama dengan parti pembangkang sudah tamat pada 31 Julai lalu iaitu melalui MoU (memorandum persefahaman) yang ditandatangani (bersama), sebenarnya itulah yang dikehendaki melalui isyarat yang disampaikan oleh pimpinan UMNO kepadanya.

“Ertinya, beliau (Perdana Menteri) mengambil kira pandangan partinya sendiri untuk melaksanakan polisi penting dalam  kerajaan termasuk soal pembubaran Parlimen. 

“Walaupun ini bukan pandangan bersama Perikatan Nasional (PN) termasuk Pas, kita hormati haknya sebagai Perdana Menteri apabila menjadikan pandangan UMNO sebagai prioriti (keutamaan),” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata, walaupun Pas berharap PRU-15 diadakan pada akhir penggal memandangkan rakyat kini dalam proses pemulihan selepas pandemik Covid-19, parti itu bersedia untuk sebarang kemungkinan.

“Mengambil kira tekanan yang dikenakan terhadap Perdana Menteri (termasuk untuk mengadakan PRU15 secepat mungkin), jadi kita bersedia dan jika ‘gendang’ PRU15 dipalu dengan segera pun saya yakin Pas tidak ada masalah kerana kita telah bersedia dari semasa ke semasa,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya