KANGAR: Tiga sekeluarga berdepan detik cemas apabila kenderaan dinaiki terbabas ke dalam sawah padi selepas terlanggar sisa lumpur di atas jalan raya atau lebih dikenali sebagai ‘tahi mesin padi’, semalam.
Mohd Hairi Ramli, 45, berkata, sewaktu kejadian sekitar pukul 9 malam itu, dia bersama isteri dan anaknya berusia tiga tahun dalam perjalanan pulang ke rumah mereka terletak di sekitar Chuping, Padang Besar.
Menurut Mohd Hairi, sewaktu tiba di Jalan Sungai Baru Utan Aji, di sini, kenderaan pacuan empat roda dipandunya hilang kawalan secara tiba-tiba dan terbabas ke dalam sawah padi bersebelahan jalan berkenaan.
“Selepas terbabas, saya dan ahli keluarga lain terus keluar dari kenderaan dan mendapati terdapat sisa lumpur di atas jalan yang ditinggalkan pemandu atau pengusaha mesin padi.
“Tayar kereta saya hilang kawalan kerana licin ekoran terlanggar sisa lumpur berkenaan dan terus memasuki kawasan sawah padi,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Hairi berkata, dia dan ahli keluarga tidak mengalami sebarang kecederaan berikutan kejadian itu namun terdapat sedikit kerosakan pada kenderaan selepas terbabas ke dalam sawah padi berkenaan.
Tambah Mohd Hairi, dia berharap agar pengusaha dan pemandu mesin padi dapat mengambil tanggungjawab untuk membersihkan sisa lumpur yang terdapat di atas jalan raya bagi mengelak kejadian sedemikian berulang.
“Nasib baik tiada sebarang kecederaan dialami ahli keluarga saya dan sepatutnya pihak terlibat perlu lebih bertanggungjawab dalam hal ini,” katanya. – UTUSAN










