Op Lejang bersepadu: 235 motosikal ditahan 

Op Lejang bersepadu: 235 motosikal ditahan 

ANGGOTA JPJ memeriksa motosikal dalam Ops Lejang di Plaza Tol Juru dan Jambatan Pulau Pinang bagi mengesan kesalahan pengubahsuaian motosikal dan beberapa kesalahan lain termasuk tidak memiliki lesen memandu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 675 motosikal diperiksa dengan 235 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dalam Op Lejang oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, di dua lokasi malam semalam.

Menurut agensi itu dalam satu kenyataan, selain berhampiran Plaza Tol Juru di sini, operasi yang sama turut dijalankan berhampiran tol Jambatan Pulau Pinang.

Katanya, berbanding operasi terdahulu, Op Lejang kali ini diadakan secara bersepadu melibatkan beberapa agensi lain termasuk Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Pulau Pinang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan sebagainya.

“Antara kesalahan yang dikesan kali ini termasuk melibatkan pemandu di bawah umur, tidak memiliki lesen memandu, Lesen Kenderaan Motor ( LKM ) tamat tempoh dan tiada perlindungan insuran.

“Turut dikesan ialah kesalahan mengubah suai motosikal seperti menanggalkan brek belakang, mengubah suai swing arm dan ekzos, menggunakan saiz tayar motosikal yang terlalu kecil, tidak mempamerkan pelekat P, tiada cermin sisi serta mempamerkan nombor pendaftaran fancy (tidak mengikut spesifikasi) dan ekstrem,” katanya.

Hadir memantau operasi itu ialah Timbalan Pengarah JPJ Pulau Pinang, Shahrul Azhar Mat Dali dan Ketua Seksyen Operasi JPJ negeri, Mohd. Nasron Aliyasak.

Dalam pada itu, JPJ Pulau Pinang mengingatkan pemilik serta penunggang motosikal supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan selain tidak melibatkan diri dalam aktiviti perlumbaan haram hingga boleh membahayakan nyawa sendiri serta pengguna jalan raya lain. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN