fbpx

OKU tak mengaku cabul doktor wanita Hospital Melaka

M. RAJA Gopal tidak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka atas pertuduhan mencabul seorang doktor wanita yang sedang memberikan rawatan kepadanya pada Mei lalu.

MELAKA: Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berdepan hukuman penjara hingga 10 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan mencabul seorang doktor wanita yang sedang memberikan rawatan kepadanya.

Tertuduh, M. Raja Gopal, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap seorang doktor wanita berusia 26 tahun di Katil No. 25, Wad A-G Nefrologi Blok A, Hospital Melaka dengan niat mencabul kehormatan mangsa.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh kira-kira pukul 7.30 petang, 12 Mei lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fiqri Hakim Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dalam apa juga cara.

Peguam P. Thisharmini yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan rendah diberikan dengan alasan anak guamnya adalah OKU, menghidap kencing manis dan angin ahmar serta menanggung lima anak perempuan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tidak boleh mengganggu mangsa. 

Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri setiap dua minggu di balai polis berhampiran dan menetapkan 26 September depan untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!