Oktoberfest bukan budaya Malaysia - Utusan Malaysia

Oktoberfest bukan budaya Malaysia

DEWAN Muslimat Pas merasakan penganjuran program Oktoberfest adalah sangat bertentangan dengan nilai ketimuran yang dipegang oleh rakyat kita selain menyebabkan rakyat Malaysia terdedah dengan budaya tidak sihat. - GAMBAR HIASAN/AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dewan Muslimat Pas tampil mempertahankan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad yang menghalang penganjuran Oktoberfest kerana ia dilihat sebagai promosi arak secara terbuka yang bakal mengundang gejala sosial yang serius.

Ketua Dewannya, Nuridah Mohd. Salleh berkata, larangan itu bukan bermakna kerajaan menghalang orang bukan Islam untuk minum arak.

Malah katanya, semua pihak sudah sedia maklum arak bukan sahaja mengundang bahaya kepada peminum tetapi ia telah terbukti membawa kemudaratan kepada keluarga dan masyarakat.

Jelasnya, antara isu yang melibatkan pemabuk ini adalah kes keganasan rumahtangga dan kemalangan jalan raya yang semakin meningkat sejak 2018.

“Biarpun dikatakan Oktoberfest dikaitkan dengan penganjuran perayaan di Jerman yang dirayakan di Munich, Bavaria sejak 1810, namun perayaan tersebut sekarang telah dikaitkan dengan arak dan festival funfair setelah kejayaan penganjuran melibatkan pesta arak pada tahun 1910 yang menarik perhatian ramai.

“Ia merupakan pesta arak selama 16 hingga 18 hari di mana syarikat arak akan menaja arak untuk perayaan tersebut. Perayaan tersebut telah mengundang lima hingga enam juta pengunjung pada setiap tahun ke Jerman.

“Sesungguhnya Dewan Muslimat Pas merasakan penganjuran program seumpama itu adalah sangat bertentangan dengan nilai ketimuran yang dipegang oleh rakyat kita selain menyebabkan rakyat Malaysia terdedah dengan budaya tidak sihat.

“Oleh kerana itu, penganjuran Oktoberfest haruslah ditentang sama sekali dan tidak harus dibiarkan menjadi tradisi yang berakar di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Idris berkata, Parlimen menolak penganjuran acara minum arak secara terbuka kepada masyarakat awam.

“Meskipun golongan bukan Islam tidak dilarang untuk minum arak, kerajaan berpendirian bahawa perbuatan menjadikan minuman arak ini sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan.

“Ini kerana akan menimbulkan masalah sosial memandangkan arak dilihat mampu menjejaskan keharmonian, ketenteraman dan keselamatan masyarakat,” kata Idris. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya