KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed semasa menjadi Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) sepatutnya menggunakan kearifannya membantu menyiapkan laporan akhir PAC berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Nur Jazlan dilihat begitu lantang dalam menyuarakan isu berkaitan 1MDB, namun, beliau akhirnya meletak jawatan dan menerima pelantikan sebagai timbalan menteri.
“Selepas dilantik (sebagai Timbalan Menteri), diam seribu bahasa.
“Sekarang pula hendak tuduh dan jatuhkan kredibiliti PAC. Kepada bekas pengerusi PAC yang amat arif, saya ingat anda boleh menjadi lebih baik.
“Nur Jazlan patut guna kearifan beliau untuk membantu PAC ketika itu, habiskan Laporan Muktamad PAC 1MDB dahulu. Tunjukkan yang anda berbezalah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nur Jazlan dalam kenyataan di Facebooknya semalam mendakwa, PH menggunakan PAC dipengerusikan Kah Woh bagi mencari modal politik baharu untuk menyerang UMNO dan BN.
Nur Jazlan turut memperlekeh ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP itu atas alasan tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan, bidang korporat mahu pun pengauditan bertaraf antarabangsa.
Nur Jazlan juga memuji dirinya sebagai ‘amat arif’ tentang tatacara dan prosedur dalam setiap laporan siasatan oleh PAC kerana merupakan bekas Pengerusi PAC dan akauntan profesional lulusan ACCA.
Pada 28 Julai 2015, Nur Jazlan melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PAC susulan pelantikannya sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri, dan semua prosiding termasuk 1MDB ditangguhkan.
Pada 7 Ogos lalu, Kah Woh pernah menjawab pertuduhan sama dilontarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dianggap mencabar kreditibiliti jawatankuasa itu.
Justeru, Kah Woh mengulangi pendirian yang PAC melakukan siasatan dan laporan berkaitan projek LCS berdasarkan fakta dan keterangan yang telah diberikan semua saksi yang hadir semasa prosiding dijalankan.
“Bukan sekali saya telah menjawab tuduhan sebegitu. Jangan cuba memburukkan kredibiliti PAC. Kamu nak cari jalan keluar politik, kreatif sikit, itu tiada kena mengena dengan PAC, jangan sentuh PAC.
“PAC tidak membuat laporan melalui perasaan sendiri. Laporan PAC berpandukan keterangan dan fakta dan hasil konsensus kesemua ahli jawatan. Yang duduk dalam PAC, dari kedua-dua blok Parlimen, semua satu hati hendak memastikan wang rakyat dilindungi,” tegasnya.
Kah Woh turut mengajak orang ramai membaca dan menilai kualiti laporan-laporan PAC di laman rasmi Parlimen yang disediakan semasa Nur Jazlan ‘yang amat arif’ menjadi Pengerusi dan laporan disediakan oleh Kah Woh yang ‘tidak mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan’.
“Biar rakyat menilai kualiti Laporan-Laporan yang dibentangkan. Rakyat yang akan tentukan, bukan Nur Jazlan atau saya sendiri,” katanya. – UTUSAN









