Nahas pesawat: Fajim Juffa antara juruterbang berkaliber TUDM - Utusan Malaysia

Nahas pesawat: Fajim Juffa antara juruterbang berkaliber TUDM

JENAZAH Fajim Juffa Mustafa Kamal tiba di Surau At Kausar Bandar Tasik Kesuma di Semenyih hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMENYIH: Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang menyifatkan Allahyarham Kolonel (B) Fajim Juffa Mustafa Kamal sebagai seorang juruterbang berkaliber.

Affendi ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma berkata, arwah Fajim pernah bertugas di bawah seliaannya dalam Skuadron MiG-29.

Katanya, sepanjang perkhidmatan, arwah begitu berdedikasi selain disenangi rakan setugas tanpa mengira pangkat.

“Ini satu kehilangan besar dan arwah pernah bersama saya dalam Skuadron MiG-29 dan begitu disenangi rakan setugas.

“Hari ini ramai rakan arwah hadir memberi penghormatan terakhir dan ini menjadi bukti arwah memang seorang yang menyenangkan,” katanya.

Turut hadir, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.

Mengulas lanjut, kata Affendi, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada keluarga arwah.

Terdahulu, jenazah jurulatih penerbangan yang terbabit dalam nahas pesawat ringan terhempas di Jalan Raja Dr Nazrin Shah itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma di sini kira-kira pukul 6.45 petang ini.

Jenazah Fajim Juffa Mustafa Kamal sebelum ini tiba di kediaman kakak sulungnya, Datuk Fajura Juffa Mustafa Kamal kira-kira pukul 5.45 petang bagi penghormatan terakhir.

Sebelum itu, Allahyarham disembahyangkan di surau Bandar Tasik Kesuma yang disertai lebih 500 jemaah terdiri ahli keluarga, rakan dan jiran terdekat yang kemudiannya mengiringi jenazah ke tanah perkuburan berdekatan.

Allahyarham Fajim, 52, bersara dari perkhidmatan pada 2019 dengan jawatan terakhir Pegawai Staf 1 Bahagian Operasi Udara (Rancang Udara) Markas Operasi Udara sebelum menyertai sebuah sekolah penerbangan di Ipoh sebagai jurulatih. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN