SERDANG: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bakal menjadi antara peneraju industri ayam daging negara dengan menyasarkan pengeluaran sehingga 144 juta ekor setahun dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun akan datang.
Pengurus Kanan Kumpulan Pembangunan Perniagaan NAFAS, Aminuddin Salleh berkata, sasaran itu dijangka dapat memenuhi kira-kira 20 peratus permintaan pasaran sumber protein tersebut.
“Sebagai entiti berkaitan kerajaan, NAFAS terpanggil untuk terlibat dalam industri ini bagi membantu memastikan sumber bekalan protein lebih terjamin.
“Jadi NAFAS sedang memastikan kita terlibat dalam keseluruhan rantaian bekalan bermula daripada anak ayam, makanan, reban sehingga ke pusat penyembelihan,” katanya ketika ditemui di Pavilion NAFAS sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) semalam.
Aminuddin berkata, usaha berkenaan dijalankan secara kerjasama dengan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) serta ahli-ahli peladang di seluruh negara.
Dalam masa sama, beliau yakin NAFAS dapat memenuhi sasaran pengeluaran tersebut berdasarkan fasiliti dan kemudahan yang dimiliki.
Jelasnya, pemprosesan makanan ternakan dijalankan di NAFAS Feedmills Sdn Bhd manakala ladang baka ayam (Medan Juara Sdn Bhd) masing-masing terletak di Muar dan Kota Tinggi, Johor.
“Kita turut mempunyai pusat penyembelihan iaitu NAFAS Food Processing & Marketing Sdn. Bhd. di Sungai Bakap, Pulau Pinang.
“Selain itu, kita juga sedang mengenal pasti beberapa lokasi reban ayam termasuk mengambil alih ladang yang terbengkalai untuk diperbaharui,” ujarnya. – UTUSAN










