Mohd. Shafie gesa Sabah laksana Undang-Undang Anti lompat

Mohd. Shafie gesa Sabah laksana semula Undang-Undang Anti Lompat Parti

MOHD. SHAFIE APDA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sabah perlu melaksanakan semula Undang-Undang Anti Lompat Parti dengan segera seperti sebelum tahun 1995.

Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelaksanaan undang-undang itu tidak seharusnya ditangguh kerana di peringkat Persekutuan, ia telah pun diluluskan di Parlimen.

Beliau berkata, undang-undang sebegitu sudah pun dilaksanakan di Sabah semasa pemerintahan Parti Bersatu Sabah (PBS) namun, telah dibatalkan semasa UMNO mengambil alih kepimpinan negeri.

“Maka, ia patut dikembalikan semula dan dibuat sedikit pindaan selari dengan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti yang diluluskan di Parlimen. Ini sangat penting bagi kita,” katanya semasa tinjauan mesra di Foh Sang hari ini.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, beliau tidak rasa akan berlaku lagi wakil rakyat yang melompat kerana RUU sudah diluluskan di Parlimen.

Menurut beliau, pelaksanaan Undang-undang Lompat Parti ini tidak mudah terhadap mereka yang telah melompat kerana RUU itu akan diwartakan sebagai akta pada bulan September, lebih cepat lebih baik.

“Sekiranya kita ikhlas mahu menghentikan budaya lompat parti ini maka, saya tidak melihat alasan untuk Hajiji menangguhkan pelaksanaannya,” katanya.

Semasa pemerintahan PBS, kerajaan meluluskan enakmen bagi mengarahkan pemimpin yang melompat parti meletak jawatan atau dipecat daripada parti. Malah, pemimpin itu juga boleh digugurkan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengenai kerjasama dengan DAP, Mohd. Shafie berkata, Warisan bukan lagi sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH) maka, Warisan akan memberi fokus memperkukuhkan kedudukan parti di Sabah.

Namun, pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Warisan akan melihat arah perjuangan mereka bagi memastikan kerjasama terjalin bukan berpaksikan janji-janji yang tidak mampu ditunaikan seperti tuntutan hasil 40 peratus.

“Kalau ada kerjasama parti, seperti saya nyatakan sebelum ini, kita sedia kerjasama dengan PBS sebagai parti tempatan.

“Kita mahu memastikan masalah di Sabah dapat ditangani dengan baik kerana kita bukan hanya berhadapan pengangguran serta masalah tempat pembuangan pegawai-pegawai persekutuan. Perkara sebegini yang membimbangkan kita,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN