Mohd. Nizar layak dicalonkan PRU15

Mohd. Nizar layak dicalonkan PRU15

Mohd. Nizar Najib
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Datuk Mohd. Nizar Najib,  anak sulung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak layak dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) dalam kawasan Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Seri Zamri Ramly berkata, selaku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, beliau memenuhi syarat sebagai calon parti itu.

Ketika ini, Mohd. Nizar, 44, antara nama yang disebut-sebut cukup sesuai bagi menggantikan bapanya jika Ahli Parlimen Pekan itu tidak layak bertanding pada PRU15 yang bahangnya semakin terasa.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai 2020, Mohd. Nizar antara nama yang disebut-sebut bertanding di situ sebelum Mohd. Sharim Md. Zain dipilih mewakili BN..

Difahamkan, Mohd. Nizar yang merupakan anak Najib dengan isteri pertama, Tengku Puteri Zainah Tengku Eskandar akan bertanding dalam kawasan Parlimen Pekan sebagai meneruskan legasi Allahyarham Tun Razak di situ.

Cumanya, kawasan mana yang bakal ditandingi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan itu difahamkan belum lagi diputuskan setakat ini.

Kawasan Parlimen Pekan mempunyai empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pulau Manis, Peramu Jaya, Bebar dan Chini yang kesemuanya dimenangi calon BN pada PRU14 lalu.

Pada PRU14 lalu, Najib menang dengan majoriti 24,859 undi apabila memperoleh 43,854 undi dalam pertandingan empat penjuru di kerusi Parlimen Pekan.

Beliau menewaskan Kapten (B) Ahiatudin Daud dari Pas (18,995 undi), Muhd. Zahid Md. Arip dari PKR (7,662 undi) dan calon Bebas, Abd. Kadir Sainudin (103 undi).

Mengulas lanjut, Zamri berkata, jika dicalonkan, kerusi yang bakal ditandingi Mohd. Nizar bergantung kawasan mana yang dikosongkan kelak.

“Nanti tengok mana-mana (kerusi) yang akan dikosongkan,” katanya apabila ditanya kerusi mana yang bakal ditandingi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan itu. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN