Mogok penghantar makanan dijangka bermula tengah malam ini

Mogok penghantar makanan dijangka bermula tengah malam ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penghantar makanan (rider) bagi beberapa syarikat penghantaran makanan dalam negara dijangka melancarkan mogok untuk 24 jam bermula tengah malam ini.

Mogok ‘Food Delivery Blackout’ itu berpunca daripada ketidakpuasan hati penghantar makanan dengan skala pembayaran yang tidak adil digunakan oleh syarikat perkhidmatan penghantaran makanan.

Memetik laporan sebuah portal, sumbernya yang mahu dikenali sebagai Ikmal memberitahu, mogok utama memerlukan penghantar makanan yang mengambil bahagian untuk mematikan permohonan penghantaran mereka selama sehari.

“Mogok itu akan menyaksikan rider mematikan aplikasi penghantaran sepanjang hari. Ada di antara kami yang menyebut ini sebagai mogok ‘cuti sehari’,” katanya.

Ikmal mendakwa, mereka pernah merungut dan mengadu kepada pihak syarikat sebelum ini, tetapi tidak dilayan.

Pihak syarikat juga dikatakan telah mengurangkan bayaran mereka dari semasa ke semasa.

“Ini bermula tahun lepas, apabila syarikat mula mengurangkan jumlah bayaran untuk rider.

“Saya akan berikan satu contoh. Sebelum ini, jika rider di bawah satu syarikat ini mengambil tempahan dua kali ganda, bermakna dia menghantar makanan daripada seorang penjual kepada dua pelanggan dan rider akan mendapat bayaran penuh untuk kedua-dua pesanan itu.

“Maksudnya, jika jarak untuk setiap pesanan mereka dapat RM5, maka dia akan mendapat RM10 secara keseluruhan tapi sekarang, syarikat telah mengurangkan jumlah itu kepada RM7 atau RM8 sahaja,” katanya.

Menurut sumber yang sama, syarikat itu juga telah memansuhkan sistem ganjaran untuk penghantaran waktu puncak, dan menggantikannya dengan sistem baru yang membayar mereka lebih rendah.

Jumlah keseluruhan penghantar makanan yang akan menyertai rancangan itu masih belum dapat dipastikan namun penganjur mogok itu memaklumkan kebanyakan penghantar telah menunjukkan bahawa mereka akan menyokong mogok itu.

Kumpulan utama mogok itu juga didakwa telah merancang untuk mengadakan konvoi ke salah sebuah ibu pejabat syarikat penghantaran makanan di Petaling Jaya.

Berdasarkan notis pemberitahuan, penghantar makanan di bawah syarikat itu akan berkumpul di 10 tempat perhimpunan di Lembah Klang pada pukul 4 petang, sebelum mereka mula menunggang bersama ke Petaling Jaya untuk menyerahkan memorandum kepada syarikat itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya