Mekanik maut dirempuh trak pikap langgar lampu isyarat merah

Mekanik maut dirempuh trak pikap langgar lampu isyarat merah

KEADAAN motosikal mangsa yang remuk selepas dirempuh trak pikup dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor - Pasir Mas, Kota Bharu, Kelantan hari ini. -IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Seorang mekanik maut selepas tercampak sejauh 20 meter apabila dirempuh sebuah trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah di persimpangan lampu isyarat Padang Layang, Jalan Salor – Pasir Mas di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.25 petang itu, mangsa, Mohamad Zulkifli Zakaria, 59, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di dada dan patah kaki kiri.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikalnya dari arah Tendong menghala ke Jalan Kedai Mulong sebelum berhenti di persimpangan itu ekoran lampu isyarat merah.

Menurutnya, apabila lampu isyarat bertukar hijau, Mohamad Zulkifli meneruskan perjalanannya ke depan.

“Dalam masa yang sama, sebuah trak pikap jenis Toyota Hilux dipandu laju dari arah Kota Bharu menghala ke Pasir Mas telah melepasi lampu isyarat merah sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Insiden itu menyebabkan mangsa yang berasal dari Kampung Kutan Hulu, Tumpat tercampak sejauh 20 meter dari motosikalnya ke arah bahu kiri jalan menghala ke Pasir Mas,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Rosdi memberitahu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh penolong pegawai perubatan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

“Bagaimanapun, pemandu dan tiga penumpang Toyota Hilux itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Siasatan lanjut turut mendapati kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemandu trak pikap yang melanggar lampu isyarat merah,” ujarnya. UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya