Masuk politik sebab mahu terus berkhidmat untuk negara - Tengku Zafrul - Utusan Malaysia

Masuk politik sebab mahu terus berkhidmat untuk negara – Tengku Zafrul

TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menyifatkan, keputusan untuk memasuki arena politik dibuat bagi membolehkan beliau dapat terus berkhidmat untuk negara. 

Dalam satu wawancara dengan CNN, Tengku Zafrul berkata, meskipun ia merupakan satu keputusan yang sukar, tetapi amat diperlukan untuk terus berkhidmat.

Katanya, ini kerana tempoh perkhidmatannya selaku Senator ketika ini hanya terhad kepada enam tahun sahaja.

“Jika anda mahu terus berkhidmat untuk negara, anda perlulah menyertai politik secara aktif.

“Tumpuan saya sekarang ialah meneruskan pembaharuan fiskal dan untuk meneruskan dalam jangka masa panjang saya memutuskan memasuki arena politik dan memainkan peranan dalam sebuah parti politik,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Barisan Nasional (BN) Selangor mengumumkan Tengku Zafrul sebagai Bendahari BN Selangor yang baharu berkuat kuasa serta-merta.

Tengku Zafrul yang berstatus senator dilantik sebagai Menteri Kewangan ketika pentadbiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dikekalkan dalam Jemaah Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Tengku Zafrul, ia dilihat tindakan yang tepat meskipun keputusan itu mungkin bukan sesuatu yang popular. 

Sehubungan itu katanya, adalah penting rakyat memahami mengapa keputusan seperti itu perlu dibuat.

“Anda perlu melakukannya. Tiada pilihan untuk itu. Masalahnya apabila membuat satu keputusan sukar anda tidak mempunyai masa dan cara terbaik ialah menyuarakannya secara elok.

“Kami memerlukan pengurusan pihak berkepentingan yang lebih mantap dan kami telah melakukannya serta kami membuat banyak keputusan sukar, terutamanya semasa krisis, krisis Covid-19.

“Jadi saya fikir komunikasi adalah kuncinya dan yang terbaik juga ialah menumpukan kepada pembaharuan negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya