PETALING JAYA : Mangsa penipuan yang kehilangan wang dalam akaun boleh mengemukakan saman terhadap institusi kewangan itu kerana wujud kecuaian dalam menjaga data peribadi pelanggan sehingga terdedah kepada kerugian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Nur Aminahtul Mardiah Md Nor berkata, walaupun kecuaian itu mungkin berpunca daripada mangsa sendiri, mereka berhak berbuat demikian atas asas kegagalan bank menjaga wang simpanan seperti mana dipertanggungjawabkan.
Katanya, pihak bank tidak boleh mengambil mudah atau lepas tangan terhadap kes penipuan kerana menjaga wang simpanan pelanggan adalah 100 peratus terletak di tangan mereka.
“Ramai mangsa tidak tahu mereka berhak membuat tuntutan undang-undang kepada bank kerana ada asas berbuat demikian. Hal ini kerana sudah menjadi tanggungjawab bank menjaga duit simpanan pelanggan dan bukannya cuai sehingga terlepas kepada poket scammer.
“Meskipun mangsa tertekan pautan tertentu, pihak bank sepatutnya menjejaki duit itu keluar dan menghubungi pelanggan jika mengesyaki transaksi mencurigakan, bukannya terus membiarkan perkara ini berlaku,” katanya.
Utusan Malaysia Jumaat lalu melaporkan teknologi lapuk termasuk perkakasan pihak penguatkuasaan berada di takuk lama dan menjadi antara punca utama kes-kes jenayah siber terus bermaharajalela dan sehingga ini belum nampak jalan penyelesaian.
Lebih menyedihkan, Malaysia masih berdepan dengan kekurangan tenaga pakar untuk mengendalikan isu-isu berkaitan jenayah siber.
Sebelum ini pelbagai isu timbul melibatkan institusi perbankan dan terbaharu pakar perubatan, Dr. Rafidah Abdullah kehilangan wang simpanannya sebanyak lebih RM13,000 dalam akaun pada 19 Ogos lalu.
Dalam pada itu, Nur Aminahtul Mardiah menjelaskan, tidak ramai mangsa menyedari hak mereka sebagai pelanggan bank untuk memfailkan tuntutan saman berkenaan walaupun mempunyai hak di sisi undang-undang.
“Namun sejak kebelakangan ini, saya menerima dua tiga kes daripada anak guam yang mahu memfailkan saman kepada bank ekoran ekoran ditipu scammer. Ini membuktikan wujud kesedaran dalam kalangan mereka terhadap hak sebagai pelanggan bank.
“Walaupun tuntutan saman ini masih baharu dan belum ada keputusan mahkamah, secara tidak langsung mengingatkan kepada bank agar tidak mengambil mudah tanggungjawab menjaga simpanan wang pelanggan,” katanya.
Beliau menjelaskan, mangsa scammer bukan sahaja boleh menuntut kerugian tetapi kos-kos lain seperti tekanan jiwa dan perasaan akibat kejadian kes berkenaan.
“Bagaimanapun kos akhir akan ditentukan mahkamah setelah mengambil kira pelbagai perkara,” jelasnya.
Nur Aminahtul Mardiah berkata, untuk permulaan mangsa terlibat perlu membuat laporan polis dan seterusnya membuat surat notis tuntutan untuk meminta penjelasan bank dalam tempoh 14 hari.
“Sekiranya bank gagal memberikan jawapan atau tidak mahu bertanggungjawab, mereka boleh meneruskan saman di mahkamah agar kes itu dapat dibawa ke muka pengadilan,” kata beliau. – UTUSAN










