APAKAH MCA sudah benar-benar berputus asa di Pulau Pinang?
Persoalan itu sering dibangkitkan banyak pihak sama ada pengundi atau pemerhati politik di Pulau Pinang melihat kepada ‘lesu’ dan perlahannya gerak kerja parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.
Sama ada di lapangan atau dalam media sosial, sangat sukar melihat program turun padang yang digerakkan ahli-ahli atau pemimpin parti itu dalam mendekati pengundi.
Jika ada sekali pun, program dan pendedahannya kepada umum sangat terhad sehinggakan ramai yang tidak mengambil peduli atau menyedari MCA sebenarnya masih wujud di Pulau Pinang.
Sedangkan banyak isu dan permasalahan yang boleh dijuarai parti MCA khususnya membabitkan polisi dan dasar oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat tidak menguntungkan rakyat.
Antaranya isu-isu seperti rumah mampu milik, peningkatan kos sara hidup, ancaman alam sekitar khususnya dari rancangan projek tambak laut, pembangunan tidak seimbang antara bahagian tanah besar dan pulau serta banyak lagi.
Malangnya, isu-isu itu lebih banyak disuarakan oleh pihak lain khususnya pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tidak mempunyai platform politik untuk mengangkat suara mereka menjadi lebih berkesan dan diberi perhatian.
Situasi ini jelas tidak menggambarkan MCA dalam keadaan bersiap sedia untuk berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dijangkakan banyak pihak berlaku dalam sedikit masa lagi.
Sudah semestinya, ia juga bukan kelebihan kepada BN untuk sekurang-kurangnya mencabar Pakatan Harapan (PH) khususnya calon DAP di Pulau Pinang pada PRU-15 kelak.
Peluang sebenarnya sangat terbuka luas buat MCA untuk menjadi parti dominan bagi masyarakat Cina di Pulau Pinang di bawah panji BN selepas Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak lagi bersama gabungan mereka.
Situasi itu juga sepatutnya digunakan sebaik mungkin oleh MCA untuk menonjolkan calon dan pemimpin-pemimpin khususnya golongan muda selepas sekian lama mereka dibayangi parti Gerakan di Pulau Pinang.
Dengan PRU15 hampir pasti menyaksikan persaingan beberapa penjuru khususnya antara parti dominan BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) , ia sepatutnya boleh digunakan oleh MCA untuk setidak-tidaknya mengurangkan dominasi undi DAP di kebanyakan kerusi di Pulau Pinang.
Malangya sehingga kini, tidak ada kesungguhan yang ketara ditunjukkan MCA untuk menjadi suara semak dan imbang dalam pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang yang membolehkan pengundi meletakkan harapan kepada mereka dalam PRU15. – UTUSAN











