Malaysia perlu corak semula khidmat kesihatan - PM

Malaysia perlu corak semula khidmat kesihatan – PM

PEMBANGUNAN Kertas Putih Kesihatan bertepatan pada masanya bagi merealisasikan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan kalis masa depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu mencorakkan semula perkhidmatan kesihatan melalui Kertas Putih Kesihatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana Malaysia dijangka mencapai status negara tua menjelang  2030 apabila ramai berusia 60 tahun ke atas iaitu lebih 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Ini bermakna, kata beliau, kadar penyakit dan permintaan penjagaan kesihatan pasti meningkat kerana kos penjagaan kesihatan rakyat berumur 60 tahun ke atas dianggarkan dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi berbanding orang dewasa yang lebih muda.

Malah, kata beliau, kadar penyakit tidak berjangkit meningkat apabila seorang daripada lima dewasa di negara ini menghidap  penyakit kencing manis dan seorang daripada tiga dewasa mengalami penyakit darah tinggi.

Beliau berkata, bukan itu sahaja malah masalah kesihatan mental semakin meningkat apabila 2.3 peratus golongan dewasa mengalami kemurungan dan 7.9 peratus kanak-kanak berusia antara lima hingga 15 tahun berdepan masalah kesihatan mental.

“Cabaran kesihatan yang diharungi sebelum ini dan apa yang kita jangkakan pada masa hadapan, patut dijadikan sandaran untuk menambah baik dan memperkukuh sistem kesihatan sedia ada.

“Justeru, pembangunan Kertas Putih Kesihatan bertepatan pada masanya bagi merealisasikan sistem kesihatan yang lebih berdaya tahan dan kalis masa depan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kemuncak Dasar Kesihatan 2022 di sini hari ini.

Melalui Kertas Putih Kesihatan, Ismail Sabri berharap sistem kesihatan negara dapat menyokong dan membantu rakyat kekal sihat dan bukan lagi menumpukan kepada rawatan dan intervensi setelah berpenyakit.

Pada masa sama, katanya, ia mampu memenuhi keperluan rawatan secara mampan dan berdaya tahan daripada semua cabaran termasuk dalam situasi pandemik global.

“Saya percaya bahawa anda juga berkongsi harapan yang sama dan transformasi sistem kesihatan negara perlu melibatkan pelbagai aspek termasuk menerapkan pendekatan tanggungjawab bersama,” katanya.

Tambahnya, Kertas Putih Kesihatan juga bertujuan mengukuhkan sistem kesihatan negara secara menyeluruh agar sejajar dengan keperluan kesihatan rakyat ketika ini selain sentiasa bersedia mendepani cabaran dalam tahun-tahun yang mendatang.

“Keberkesanan sistem kesihatan negara tidak seharusnya digalas Kementerian Kesihatan semata-mata, sebaliknya menjadi tanggungjawab semua pihak seperti pemegang taruh, sektor awam dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan.

“Saya juga percaya, jika bersama-sama berganding bahu dan berusaha ke arah kebaikan, kita mampu mencorak semula perkhidmatan kesihatan untuk Keluarga Malaysia,” katanya.

Beliau turut menyeru masyarakat membudayakan gaya hidup sihat seperti mengaktifkan diri, pupuk minda sihat, makan secara sihat dan tidak merokok serta melakukan saringan kesihatan secara berkala.

“Kerajaan turut menyasarkan Malaysia menjadi sebuah negara bebas daripada amalan merokok melalui strategi Generasi Penamat dan saya berharap Rang Undang-Undang berkenaan dapat dibentangkan di mesyuarat Parlimen akan datang.

“Kerajaan terus memainkan peranannya memastikan sektor kesihatan negara berdaya tahan dan fleksibel supaya kekal dan kalis cabaran pada masa hadapan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN