MADA bimbing 2,337 usahawan, catat RM185 juta nilai jualan

MADA bimbing 2,337 usahawan, catat RM185 juta nilai jualan

AHMAD Hamzah (kiri), Haslina Abdul Hamid (dua dari kiri) dan Ahmad Tarmizi Sulaiman (kanan) mendengar penerangan Nor Hathmina Ibrahim (tengah) selepas pelancaran Produk Hazra Jaya Food Enterprise di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Seramai 2,337 usahawan berjaya dibimbing oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sehingga tahun lalu dengan 20 peratus daripadanya terdiri daripada golongan muda.

Menurut Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I (MAFI), Datuk Seri Ahmad Hamzah, sebanyak RM185 juta nilai jualan dicatatkan bagi tahun 2021 menerusi program Pembangunan Usahawan MADA.

“Saya yakin MADA sentiasa komited dalam meningkatkan pengeluaran makanan segar dalam industri tanaman, ternakan dan perikanan selain memberi tumpuan terhadap peningkatan pendapatan usahawan dalam golongan B40 di Kawasan Muda.

“Seiring dengan cabaran di dalam perniagaan, strategi yang dilaksanakan perlu menjurus kepada inovasi dan pendigitalan, kelestarian serta pertumbuhan inklusif dijangka dapat mewujudkan satu ekosistem keusahawanan yang kondusif dan menyeluruh bagi usahawan MADA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Produk Hazra Jaya Food Enterprise sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid; Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman dan Pengurus Besar MADA, Kamarudin Dahuli.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, pencapaian itu merupakan satu petunjuk penting bagi menonjolkan kejayaan usahawan MADA dalam menghasilkan produk-produk yang berkualiti bagi memenuhi permintaan tempatan dan antarabangsa.

“Di harap usahawan bimbingan di bawah MADA menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk terus berusaha meningkatkan taraf ekonomi diri dan keluarga serta menjenamakan lagi produk-produk baharu di masa akan datang,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik Hazra Jaya Food Enterprise, Nor Hathmina Ibrahim berkata, permintaan yang tinggi terhadap produk ‘ready to eat’ dalam kalangan pengguna mendorongnya untuk menyahut cabaran dan menghasilkan produk tersebut bermula pada 2020.

“Antara produk ‘ready to eat’ yang sering mendapat permintaan seperti rendang ayam cili api, rendang daging dan laksa kedah kerana mudah disediakan dan menepati citarasa pelanggan,” ujarnya.

Untuk info, Hazra Jaya mula diasaskan pada tahun 1994 dengan menghasilkan sos dan kicap bagi pasaran kantin dan asrama sekolah sebelum mengorak langkah menghasilkan pes makanan sendiri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya