Lima lelaki dipenjara 10 bulan, denda RM2,000 

Ceroboh pusat tahfiz: Lima lelaki dipenjara 10 bulan, denda RM2,000 

LIMA lelaki dijatuhi hukuman 10 bulan penjara dan denda di Mahkamah Majistret Lipis di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Lima lelaki dipenjara 10 bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mengaku salah atas pertuduhan menceroboh pusat tahfiz dan menyebabkan kecederaan terhadap seorang guru, 11 Ogos lalu. 

Tertuduh, Wan Haris Wan Ismail, 38; Zulkifli Mohd. Nasir, 27; Azraen Che Mat Noor, 43; Mohd. Amirul Afif Che Mat Noor,  29, dan Rizuwan Hazmi,  47,  membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Siti Aisyah Ahmad. 

Dalam penghakimannya, Siti Aisyah memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara daripada tarikh mereka ditangkap. 

Mengikut kertas pertuduhan,  kelima-lima tertuduh didapati bersalah dengan niat telah melakukan pencerobohan di kawasan Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah,  Jalan Cheneras di sini pukul 5.10  petang, 11 Ogos lalu. 

Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5, 000 atau kedua-duanya. 

KERATAN laporan Utusan Online.

Siti Aisyah kemudian menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan denda RM2,000 serta tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda kepada kelima-lima tertuduh. 

Sementara itu, pada prosiding yang sama, tiga tertuduh, Wan Haris,  Zulkifli dan Azraen didapati telah dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Zulhafiz Mohd. Rasid, 26, yang merupakan seorang guru. 

Ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya. 

Siti Aisyah menjatuhkan hukuman kepada Wan Haris, Zulkifli dan Azraen juga terhadap Mohd. Amirul dan Rizuwan lapan bulan penjara dan denda RM1,000 atau tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda. 

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Pahang, Abdul Ghafar Ab. Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam Fariha Nuzuruhan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Dalam prosiding itu, Rifah Izzati  meminta hukuman setimpal diberikan kepada kesemua tertuduh kerana kejadian itu telah menarik perhatian awam dan menimbulkan kemarahan masyarakat kerana perlakuan tersebut dilakukan di pusat tahfiz. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya